"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 faktor yang bakal mewarnakan senario politik Malaysia

BORHAN AHMAD

Sebaik sahaja Dewan Rakyat meluluskan Akta Anti Lompat Parti, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) semalam meluluskan permohonan Umno untuk mengadakan pemilihannya selepas PRU-15.

Serentak dengan itu juga Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan sidangnya walaupun dengan alasan mereka baru sahaja dilantik sebagai peguam Najib yang baharu.

Dalam masa yang sama juga tersebar gambar pertemuan lima pemimpin utama Umno (Top 5) bertemu sebagaimana janji Perhimpunan Agung Umno untuk memberikan peluang kepada Top 5 pemimpin Umno membuat keputusan mengenai hal ehwal parti itu.

Di pihak rakyat pula, mereka sedang berdepan dengan kenaikan harga barang yang mendadak bermula 1 Julai lalu.

Lima keputusan dan suasana inilah bakal mewarnakan politik Malaysia dan bilakah agaknya pilihan raya umum ke 15 Malaysia akan diadakan.

Faktor paling jelas adalah, PRU-15 akan dibuat apabila Malaysia sedia untuk melaksanakan Akta Anti Lompat Parti (AALP) itu.

Ini kerana, inilah kehendak majoriti rakyat negara ini selepas 209 dari 222 wakil mereka telah membuat keputusan mahu AALP itu dilaksanakan.

Jika berlaku sebarang penyelewengan atau penyanggahan terhadap hasrat ini sudah tentu kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri akan dipersalahkan oleh rakyat dan beliau akan ditolak.

Oleh itu, sebelum membuat apa-apa keputusan, PM Ismail dipercayai akan menjadikan hasrat rakyat untuk melihat AALP terlaksana dalam PRU-15 nanti dituruti.

Untuk membolehkan AALP ini dilaksanakan, ia perlu melalui proses tertentu selepas diluluskan Dewan Rakyat iaitu kelulusan Dewan Negara dan seterusnya tarikh penguatkuasaanya selepas dipersetujui oleh Yang Dipertuan Agong.

Dipercayai atas keyakinan inilah, RoS dengan berani meluluskan permohonan Umno untuk mengadakan pemilihan selepas PRU-15 yang membawa maksud Presiden Umno yang ada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kuasa penuh untuk menandatangani watikah perlantikan semua calon Umno dalam PRU-15.

Dengan lain perkataan, Zahid adalah pemimpin Umno yang akan memutuskan siapa pemimpin Umno yang boleh menjadi calon dalam pilihan raya nanti.

Namun begitu, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Najib untuk menangguhkan lagi sidangnya walaupun selepas peguam baharu dilantik membayangkan ketegasan mahkamah dalam kes sebegini.

Di samping Najib, tokoh yang paling popular di kalangan penyokong Umno sekarang, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid juga berhadapan dengan kesnya yang dijangka akan berakhir selepas sidang 10 hingga 12 Ogos ini.

Walaupun perbicaraan terhadap Zahid terpaksa ditangguhkan semalam kerana saksi pendakwaan masih positif Covid-19, Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, berkata perbicaraan kes itu akan bersambung pada 10 hingga 12 Ogos ini seperti ditetapkan sebelum ini.

Bilakah PRU-15, empat peristiwa di atas dan apa yang rakyat fikirkan tentang kenaikan harga barang ini akan mempengaruhi tarikh itu.

Selagi rakyat tidak boleh menerima kenaikan harga barangan dengan rasional, kita yakin PM tidak akan menasihatkan Yang Dipertuan Agong untuk mengadakan PRU-15.

Tiada ulasan: