"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita ditahan berkait kes guru dipercayai maut lepas gaduh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penolong pegawai wanita sebuah agensi kerajaan ditahan bagi membantu siasatan kes guru lelaki yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulim, kelmarin.

Wanita berusia 41 tahun itu ditahan di rumahnya di Ayer Itam, Pulau Pinang kira-kira 4 pagi hari ini.

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan setakat ini siasatan awal mendapati guru pendidikan moral berusia 54 tahun itu dipercayai terbabit pergaduhan dengan beberapa lelaki di sebuah restoran kerana didakwa menyimpan gambar bogel suspek dalam telefon bimbitnya.

“Suspek mendakwa dia ada meminta tolong daripada rakan lelaki untuk memadam gambar tidak senonohnya itu selain turut berpesan supaya memberi amaran kepada mangsa.

“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui sejauh mana kebenaran dakwaan suspek itu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kematian seorang guru yang menjadi persoalan sama ada dia menjadi mangsa jenayah atau sebaliknya selepas dibawa tiga lelaki ke hospital jam 9.15 malam.

Isteri mangsa turut membuat laporan polis berhubung kejadian selepas tiga lelaki tidak dikenali sebelum itu membawa suaminya pulang dalam keadaan parah ke rumah mereka di Lunas.

Difahamkan, tiga lelaki itu mendakwa mereka terserempak dengan mangsa dalam keadaan parah konon akibat kemalangan dan isteri lelaki terbabit kemudian meminta mereka menghantar suaminya ke hospital.

Tiga lelaki yang menghantarnya ke hospital terus beredar dan pemeriksaan turut mendapati mangsa mengalami kesan lebam di mata dan luka di beberapa bahagian anggota badan selain patah tengkuk.

Susulan itu, polis menahan seorang wanita yang dipercayai dapat membantu siasatan dalam kes terbabit dan masih memburu tiga lagi lelaki.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, G Suresh Kumar mengesahkan penahanan suspek wanita berkenaan.

“Ya…ada satu tangkapan membabitkan seorang wanita namun kita masih menjalankan siasatan mengenai kes ini,” katanya.

Tiada ulasan: