"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa bunuh budak ditanam bawah lantai dapur pada 2015?

Ho Kit Yen

PETALING JAYA: Pada 2015, pasangan dari Sabah Loo Chon Wen and Tan Boa Jia berpindah secara tergesa-gesa dari rumah yang disewa mereka di Kepong, tidak lama selepas kerja mengubah suai selesai di rumah tersebut.

Tindakan ini menimbulkan syak wasangka tuan rumah mereka, Ng Bee Juan.

Ng pergi ke rumah tersebut dan mendapati lantai dapur rumah disimen semula. Beliau memanggil kontraktor untuk memecahkan lantai simen itu dan terkejut dengan apa yang mereka temui – mayat seorang kanak-kanak yang berbau.

Mayat itu kemudiannya diketahui sebagai anak lelaki pasangan tersebut, Loo Yong Shen. Kanak-kanak berusia 9 tahun itu ialah seorang daripada empat anak pasangan tersebut; yang lain berusia 14, 10, dan tujuh tahun.

Pasangan itu ditahan dan Loo didakwa atas tuduhan membunuh dengan kesnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Isterinya, Tan, didakwa atas tuduhan melupuskan barang kes dengan menanam mayat anak mereka. Dia mengaku bersalah pada 12 Nov 2015 dan dihukum penjara dua tahun.

Keputusan tidak disangka

Kes itu dibicarakan selama dua tahun, dengan 17 saksi dipanggil memberi keterangan. Pada 2018, Hakim Mahkamah Tinggi, Ghazali Cha membebaskan Loo selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya.

Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal memanggil saksi material seperti Tan dan anaknya yang lain, serta ahli kimia yang menjalankan ujian DNA untuk membuktikan hubungan pasangan itu dengan mayat kanak-kanak lelaki yang ditanam itu.

Mahkamah mengurangkan tuduhan bunuh Loo kepada melupuskan barang kes, sama seperti tuduhan terhadap isterinya. Loo mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dari tarikh dia ditangkap pada 30 Mac 2015.

Apa yang berlaku semasa perbicaraan?

Peguam Loo, Mak Kah Keong berkata, keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan tidak cukup untuk mengaitkan anak guamnya dengan kematian Yong Shen.

Menurut Mak, wujud kelompongan dalam kes pendakwaan, seperti dakwaan mereka bahawa Loo memukul budak itu hingga mati.

Kes itu dibicarakan selama dua tahun, sebelum hakim Mahkamah Tinggi membebaskan Loo, mengurangkan tuduhan bunuh kepada melupuskan barang kes.

“Tiada keterangan dikemukakan semasa perbicaraan menunjukkan budak itu dipukul. Malah, struktur tulangnya masih utuh.”

Mak berkata, Tan yang ketika itu telah dibebaskan, sepatutnya menjadi saksi utama pendakwaan, tetapi tidak dipanggil memberi keterangan. Polis juga gagal mengesan Tan dan anak-anaknya.

Tambahnya, pihak pendakwaan cuba mengemukakan kenyataan yang direkodkan daripada anak-anak pasangan itu, tetapi pihak pembelaan membantah atas alasan ia tidak memenuhi syarat undang-undang.

“Kenyataan dua daripada anak-anak itu dirakam menerusi rakan keluarga itu, yang diterjemah dari dialek tempatan Sabah kepada Bahasa Melayu,” jelas Mak.

“Hanya anak sulung pasangan itu bercakap dalam Bahasa Melayu kepada pegawai polis yang merakam kenyataannya.”

Beliau berkata, kedua-dua rakan keluarga dan pegawai polis yang merakam kenyataan tersebut tidak dipanggil memberi keterangan, dan ini menjadi kepincangan besar bagi kes pendakwaan. Satu lagi kepincangan yang dinyatakan Mak ialah kegagalan pegawai penyiasat mengenal pasti mayat Yong Shen.

Mak berkata, tidak pasti sama ada pihak pendakwaan pernah membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk membebaskan Loo daripada tuduhan membunuh, atau sama ada mereka gagal menyampaikan notis rayuan kepada Loo.

Kebiasaannya, jika notis rayuan tidak disampaikan selepas beberapa percubaan, mahkamah lebih tinggi akan membatalkan notis itu, sekali gus mengekalkan penghakiman mahkamah asal.

Mak tidak tahu di mana Loo berada, dan beliau tidak bercakap dengan lelaki itu sejak dia dimasukkan ke penjara kerana menyembunyikan barang kes.

Tujuh tahun selepas mayat Yong Shen ditemui, dan dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa tiada keterangan mengaitkan Loo dengan kematian anak lelakinya, persoalan tentang apa yang sebenarnya berlaku masih tidak terjawab.

FMT telah menghubungi Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan komen, tetapi belum menerima jawapan ketika laporan ini diterbitkan.

Tiada ulasan: