"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Betulkah pembebasan Zahid jejaskan strategi pembangkang

Tsubasa Nair dan SK Devi

PETALING JAYA: Penganalisis politik bercanggah pendapat berhubung strategi akan digunakan pembangkang susulan pembebasan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 40 pertuduhan rasuah berhubung kes sistem visa asing.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata pembangkang perlu menyusun semula pendekatan selama ini yang melabel Umno dan kepimpinan Zahid sebagai rasuah.

Ujarnya, Umno pula boleh melaungkan naratifnya bahawa pemimpin parti itu tidak rasuah dan bahawa pertuduhan dikenakan terhadap mereka adalah hasil daripada “penganiayaan politik”.

“Bagi pembangkang, naratif mereka bahawa Umno korup perlu diubah kerana ‘nombor satu’ (merujuk kepada presiden) Umno telah dibebaskan daripada semua pertuduhan,” kata Azmi kepada FMT.

Wong Chin Huat dari Universiti Sunway pula berkata pembangkang berkemungkinan mengambil kesempatan daripada keputusan Mahkamah Tinggi “untuk menggesa pengundi anti-rasuah berjuang di belakang mereka.”

Bagaimanapun, Wong menyatakan bahawa pembangkang harus ingat, berdasarkan situasi pilihan raya negeri Johor, segmen terbesar pengundi mereka adalah “kumpulan yang berkecuali”.

“Berapa ramai pengundi ini mengambil berat tentang Zahid masih tidak diketahui.

“Mereka mungkin mengambil berat (lebih), dan membandingkan, apa yang kerajaan dan blok pembangkang boleh lakukan untuk mereka, terutamanya dalam krisis,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini pemimpin Pakatan Harapan harus memfokuskan kepada gerak kerja politiknya bermula dengan membentangkan belanjawan bayangan sebelum pembentangan oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob pada 7 Okt.

Namun, Felo Majlis Profesor Jeniri Amir berpendapat sebaliknya. Beliau percaya pembebasan presiden Umno itu tidak akan memaksa pembangkang mengubah pendekatannya kerana mereka tetap perlu berdepan dengan sesiapa sahaja mengetuai Barisan Nasional sama ada Zahid atau Ismail.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania pula berkata keputusan itu akan menyukarkan pembangkang yang sering menjadikan anti rasuah sebagai bahan kempennya.

Zahid hari ini dibebaskan daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk melanjutkan kontrak sistem visa asing.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap presiden Umno itu.

Zahid, 69, didakwa atas 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) ketika menjadi menteri dalam negeri, untuk menyambung kontrak firma itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan sistem VLN, serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak bagi pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dia juga didakwa atas tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya SGD1.15 juta; RM3 juta; 15,000 franc Swiss; dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan dengan tugas rasminya.

Tiada ulasan: