"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

“Jati diri Pas sudah hilang, perlu muhasabah diri, jangan hanyut dengan status parti Islam tunggal”

NASUHA RAHMAN

Isu Konsert Riuh Sokmo yang diadakan selama 3 hari di Ketereh memberi tamparan hebat kepada kerajaan Pas Kelantan apabila sekian lama hiburan seperti itu telah lama diharamkan di bumi Serambi Mekah sekali gus bertentang dengan slogan Membangun Bersama Islam.

Tiba-tiba umum dikejutkan dengan kemunculan konsert di Bumi Serambi Mekah yang diadakan bermula 16 Sept hingga semalam 18 Sept.

Facebook Abdel Rahmanov yang juga merupakan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam terpanggil untuk menegur kerajaan Pas Kelantan dalam isu ini.

Katanya, Pas yang bersama dalam kerajaan pusat hari ini membuatkan parti itu bagaikan hilang taringnya seolah-olah jati diri dan kekuatan Pas telah hilang.

"Pas perlu muhasabah diri, jangan hanyut dengan status parti Islam tunggal"

konsert riuh

Katanya, jangan diharap aktivis Pas, ustaz Pas atau pemimpin Pas akan menegur isu konsert di Kelantan sebab ada kaedah agung dalam politik iaitu dengar, taat serta bodek.

“Jika bersuara nanti kena cantas daripada pentas politik atau hilang jawatan. Maka lebih baik diam membisu dalam Toyota Vellfire. Inilah realiti dunia politik,” kata beliau.

Justeru katanya, Pas perlu muhasabah diri dan jangan hanyut dengan status sebagai parti Islam tunggal di Malaysia.

“Jati diri Pas perlu disegarkan kembali. Islam perlu memimpin dan bukan hanya menjadi pak turut dalam pentadbiran negara,” katanya lagi.

Pada bulan Ogos lalu, Ketua Pemuda Pas, YB Ustaz Ahmad Fadhli Shaari secara terbuka membidas penganjuran bertalu-talu konsert mega yang didakwanya “kerja gila menjemput kemurkaan Allah”.

Beliau memberi amaran untuk menggerakkan bantahan “di seluruh negara” jika kerajaan kekal dengan keputusan membenarkan konsert diadakan.

“Konsert yang mega yang dibantah itu berlaku di bandar besar. Tiba-tiba wujud konsert di Bumi Serambi Mekah. Jangan jadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Pemuda Pas Kelantan bimbang dengan penganjuran Konsert Riuh Sokmo yang berlangsung di negeri itu minggu ini kerana disifatkan bertentangan dasar “Membangun Bersama Islam” dibawa kerajaan negeri pimpinan Pas.

Ketuanya, Ustaz Mohamad Kamal Mohamed turut menggesa kerajaan negeri bertindak tegas terhadap penganjur jika konsert itu melanggar enakmen hiburan negeri.

Beliau menyebut, “Enakmen hiburan negeri Kelantan secara ringkas masih tidak membenarkan persembahan wanita berumur 15 tahun ke atas di pentas umum (persembahan wanita hanya untuk audien wanita) dan pengasingan peserta dengan 3 tempat duduk iaitu lelaki, perempuan dan keluarga.

Malangnya menurut Abdel Rahmanov kenyataan ketua pemuda Pas ini agak terlambat umpama sasi sudah menjadi bubur.

“Tiada guna membantah perkara yang sudah berlaku. Pemuda Pas Kelantan perlu bersikap pro aktif pada masa hadapan. Apatah ia berlaku ditempat sendiri,” ujarnya lagi.

Konsert Riuh Sokmo! bersama Celcom menampilkan persembahan artis terkenal tanah air seperti Wings, Ramli Sarip, Kugiran Masdo, Faizal Tahir dan ramai lagi. Semasa konsert, diasingkan bahagian lelaki dan perempuan.

Konsert itu dianjurkan dengan K-KOMM dengan kerjasama Celcom Axiata Berhad (Celcom) di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh dan padang Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, mulai 16 Sept hingga 18 Sept.

K-KOMM merujuk kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Menterinya ialah Tan Sri Annuar Musa. Saya yakin program ini diadakan untuk memancing undi kerana PRU15 semakin hampir. Parlimen Ketereh ialah kawasan Tan Sri Annuar Musa.

Tiada ulasan: