"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi yakin PH boleh buat PAS, Umno terkejut sekali lagi

Alyaa Alhadjri

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menjangkakan PKR partinya serta Pakatan Harapan (PH) boleh selamat walaupun dalam pertembungan satu lawan satu dengan BN atau PN di 27 kerusi marginal pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Katanya, andaian itu dibuat berdasarkan pembolehubah yang terdiri sehingga 30 peratus sokongan Melayu di kerusi majoriti Melayu, lebih 80 peratus sokongan bukan Melayu dan peratusan keluar mengundi mengatasi 75 peratus.

"Daripada 27 kerusi bertindih itu, majoritinya adalah kerusi PKR. Kerusi ini biasanya di kawasan pilihan raya pengundi Melayu seramai antara 60 peratus hingga 70 peratus.

"Jadi yang dikatakan jika Umno-BN dan PN bergabung dan mengelak pertembungan di sini, mereka boleh menguasai sehingga 90 peratus undi Melayu dan dengan itu mereka boleh menang walaupun tidak mendapat banyak sokongan bukan Melayu," kata pengarah pilihan raya PKR itu pada sidang media selepas melancarkan aplikasi mudah alih untuk jentera parti di Cheras hari ini.

Sambil mengakui terdapat asas pada strategi itu, Rafizi memetik dapatan tinjauan PKR yang menunjukkan peralihan sokongan Melayu terhadap partinya dan PH.

Antara lain ia disebabkan rasa tidak puas hati mereka terhadap cara kerajaan menangani pelbagai isu termasuk peningkatan kos sara hidup.

"Daripada data, sejak Julai hingga Ogos lalu, kami melihat perubahan sehingga 4 peratus sokongan Melayu kepada PKR dan PH. Jadi keadaan sangat dinamik," katanya.

Sebelum ini, AJK PAS Pusat Mohd Zuhdi Marsuki mencadangkan agar parti itu dan Umno berbincang untuk mewujudkan 'kerusi muafakat' di 27 kerusi parlimen ketika dia mendapati PH mempunyai peluang besar mengulangi kejayaan pada 2018.

Daripada 27 kerusi yang dirujuk Mohd Zuhdi itu, 20 kini diwakili PH manajala bakinya dimenangi parti lain dengan majoriti tipis.

Hubungi pengundi atas pagar

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari dan pemimpin lain parti juga pada awal bulan ini menegaskan rundingan dengan Umno boleh diteruskan sehingga saat akhir, walaupun mendapat tentangan daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Rafizi lagi PH perlu terus berhubung dan terlibat dengan pengundi atas pagar selain bersedia menghadapi PRU ke-15 yang mungkin akan diadakan seawal Nov ini.

“Terpulang kepada Umno dan PAS untuk mengatur strategi serta mengelak pertembungan, tetapi pengalaman saya pada 2016 ialah, jika anda mahu memenangi pilihan raya, anda perlu memenangi hati dan fikiran pengundi.

"Sekiranya PKR dan PH boleh merayu pengundi Melayu yang mencukupi di 27 kerusi berkenaan, dan kita mencapai sasaran melepasi paras 30 peratus dalam dua atau tiga bulan dari sekarang - dan ia boleh dilakukan - maka walaupun dalam pertarungan satu lawan satu, Umno dan PAS mungkin akan terkejut sekali lagi," katanya.

Diminta untuk mengenal pasti beberapa kerusi yang dimaksudkan, Rafizi merujuk kepada kawasan pengundi majoriti Melayu di Kedah, Johor dan Selangor yang memilki sejumlah besar profesional Melayu cenderung menyokong PAS.

Bekas ahli parlimen Pandan itu berkata kawasan terbabit termasuk Kulim-Bandar Baru, yang kini disandang Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, serta kerusi dimenangi Bersatu serta sebahagian PH pada PRU lalu.

Terdahulu, dalam ucapannya kepada kira-kira 600 sukarelawan PKR, Rafizi, berkata parti itu telah menetapkan sasaran untuk menghubungi 1.5 juta pengundi atas pagar melalui panggilan telefon menjelang Nov ini.

Tiada ulasan: