"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah beri menteri 14 hari putuskan pendaftaran parti veteran

FMT Reporters

Peguam Lim Wei Jiet (dia dari kiri ) dan pengasas Parti Kemakmuran Negara bergambar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh 14 hari kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin untuk memutuskan rayuan sebuah parti politik berasaskan veteran supaya didaftarkan secara rasmi.

Peguam Lim Wei Jiet berkata, Parti Kemakmuran Negara berjaya dalam permohonan semakan kehakiman terhadap Hamzah semalam.

Lim berkata, pengasas parti itu memohon Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk mendaftarkan parti itu pada 9 Mac 2021, tetapi permohonan itu ditolak pada 16 Mac.

Katanya, pengasas itu kemudiannya merayu kepada menteri dalam negeri pada 25 Mac lalu, tetapi tiada keputusan dibuat selepas hampir enam bulan.

“Dalam saman itu, pengasas terbabit mendakwa penangguhan sedemikian tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan melanggar hak untuk menubuhkan persatuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah mengarahkan menteri itu membuat keputusan berhubung rayuan itu dalam tempoh 14 hari,” kata Lim dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Lim memberitahu FMT, menangguhkan rayuan yang dibuat pihak benar-benar berminat menubuhkan parti politik adalah “tidak demokratik, tidak adil dan tidak munasabah”.

Beliau berharap Hamzah akan mempercepatkan rayuan oleh pihak yang mahu menubuhkan parti politik kerana ia akan memberi mereka masa untuk bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya.

“Anak guam saya adalah veteran yang sudah berkorban dan menghabiskan kebanyakan masa dalam hidup mereka untuk mempertahankan keselamatan negara ini, dengan sebahagian daripada mereka berkhidmat sejak pemberontakan komunis.

“Untuk memaksa mereka menunggu dan naik turun mahkamah pada usia mereka menunjukkan rasa tidak hormat terhadap pahlawan ini yang sudah berkhidmat kepada negara selama 30, 40 tahun.”

Parti itu diketuai Brig-Gen (B) Abdullah Mohamed yang terbabit dalam operasi menentang komunis pada 1970-an dan 1980-an.

Pengasas lain ialah veteran dari tentera darat, laut dan udara.

Tiada ulasan: