"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr. Mahathir: Hadi kafirkan PAS untuk kerjasama dengan Umno, parti bukan Islam

Nora Mahpar

SERDANG: Dr Mahathir Mohamad melabel PAS sebagai parti kafir kerana sanggup bekerjasama dengan Umno dan parti bukan Islam demi kuasa dan kedudukan.

Pengerusi Pejuang itu berkata Abdul Hadi Awang yang pernah mengkafirkan Umno kerana bekerjasama dengan parti bukan Islam, kini “merelakan PAS dikafirkan” untuk bekerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN).

“PAS kita dapati tindakan mereka pelik sikit sebab tindakan mereka berbeza dengan pendirian PAS dulu, dahulu PAS kata Umno ni parti kafir dan macam-macam tuduhan dibuat tetapi tanpa menafikan Umno kafir, mereka bekerjasama dengan kafir.

“Ini yang kita fikir pelik. Nampak seolah-olah PAS ni ‘opurtunis’. Nampak peluang prinsip diketepikan…kononnya berjuang untuk Islam. Tak boleh bekerjasama dengan orang kafir (nanti) kita jadi kafir tetapi dia jadi kafir.

“Mengikut tafsiran PAS, PAS sekarang ini parti kafir selagi dia tak hapuskan dakwaan atau tolak dakwaan yang dibuat oleh PAS dahulu bahawa orang yang tak bersama dengan PAS itu adalah kafir, maka tindakan PAS sekarang ini bekerjasama dengan orang kafir PAS sudah jadi parti bukan Islam lagi, parti kafir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Aspirasi Wanita Merdeka: Penentu Hala Tuju Negara.

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim semalam mendakwa PAS yang dipimpin Hadi ketika ini berbeza ketika era Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Fadzil Mohd Noor.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian susulan dakwaan Hadi yang menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana kalangan pemimpin gabungan itu “mengumpulkan pemberi rasuah dan penerima rasuah”.

“Amanat Hadi” merujuk ucapan Hadi pada 7 April 1981, ketika beliau menjadi pesuruhjaya PAS Terengganu. Petikan ucapan itu kerap dibidas Umno kerana didakwa mengkafirkan ahli parti komponen terbesar Barisan Nasional itu.

Ditanya sama ada gabungan Gerakan Tanah Air yang digagaskan beliau bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Mahathir berkata partinya tidak akan sekali-kali bersama dengan parti yang bersama terlibat dalam menubuhkan kerajaan pintu belakang.

“Mana-mana parti yang terlibat dengan rasuah atau terlibat mendirikan kerajaan melalui pintu belakang, kita takkan kerjasama dengan mereka,” tegasnya.

Pada 4 Ogos lalu, Mahathir mengumumkan penubuhan gerakan berasaskan Melayu dan Islam yang dinamakan GTA.

Gabungan itu terdiri daripada empat parti Melayu – Pejuang, Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), NGO serta orang perseorangan.

Tiada ulasan: