"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib tidak akan dihantar ke IJN kerana banduan hanya akan dirawat di hospital kerajaan

SITI NUR ZAWANI MISCON

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan Datuk Seri Najib Razak tidak akan dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN), sebaliknya beliau akan kekal menerima rawatan di hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, semua banduan termasuk Najib harus menerima rawatan dari hospital kerajaan di mana ia termaktub dalam prosedur yang telah ditetapkan selama ini.

IJN merupakan sebuah entiti swasta atau badan dikorporatkan di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

Berikutan itu, beliau menafikan laporan kemungkinan Najib akan dirujuk ke IJN disebabkan tekanan darah tidak menentu.

“Saya sudah menghubungi Pengarah HKL, Datin Paduka Dr Rohana Johan yang memaklumkan Najib kini dalam keadaan stabil. Najib tidak akan dihantar ke IJN kerana prosedur banduan adalah mereka perlu dirujuk ke hospital kerajaan.

“dan bagi kes Najib, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memutuskan beliau dihantar ke HKL,” katanya.

Bagaimanapun untuk mengelakkan lebih banyak pertikaian, Khairy telah memberi arahan agar HKL memberi rawatan yang diperlukan Najib.

“Disebabkan tidak mahu ada pertikaian selepas ini, jadi saya minta kepada HKL dan Timbalan Ketua Pengarah Perubatan, Datuk Dr Asmayani Khalib, untuk memberikan rawatan susulan yang diperlukan oleh Najib.

“Jika sudah lengkap, laporan akan diserahkan kepada Najib dan mahkamah sekiranya perlu,” katanya menerusi sidang media di kementeriannya hari ini.

Khairy berkata demikian mengulas laporan ahli keluarga yang mempersoalkan Najib tidak dimasukkan ke HKL dan dibenar pulang selepas menerima rawatan.

Pada masa sama Khairy berkata, pihaknya akan memberi rawatan dan perkhidmatan terbaik kepada semua banduan.

“Kami akan beri rawatan yang terbaik kepada banduan, kerana ia adalah tanggungjawab dan tugas KKM,” katanya.

Tiada ulasan: