"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Musa Hitam: Umno, PAS, Bersatu gabung, belum cukup ‘kuat’ lawan pengaruh PKR

FMT Reporters

PETALING JAYA: Penggabungan parti Melayu antara Umno, PAS dan Bersatu masih belum cukup “kuat” dan meluas pengaruhnya seperti PKR, kata bekas timbalan perdana menteri, Musa Hitam.

Beliau berkata, justeru jika Umno, PAS dan Bersatu bergabung bawah “khemah” sama, gabungan itu perlu memberi jaminan kepada bangsa lain sebagai tumpuan perjuangan mereka.

Katanya, konsep ketuanan Melayu wujud disebabkan pegangan orang Melayu yang taksub yang wujud ketika negara digelar “Tanah Melayu”, sekali gus membuatkan orang Melayu menggunakan konsep berkenaan bagi melindungi kepentingan bangsa berkenaan.

Namun, beliau yang juga bekas timbalan presiden Umno berkata konsep sedemikian tidak lagi relevan terutama selepas negara merdeka, yang menyaksikan segala-galanya berubah dan Malaysia kini bukan lagi sebuah negara Melayu sepenuhnya.

“Masalah ideologi mereka tak begitu jelas, bercampur aduk. Macam Umno, mereka kata parti Melayu, Islam. PAS kata sama. Ada parti baharu pula seperti Bersatu juga katakan Melayu dan Islam. Ideologinya, bunyi macam sama.

“Kalau boleh idea mereka ini bersama iaitu ‘simple solid group’ dan menggelar parti ini mempromosikan kepentingan Melayu dan Islam. Secara prinsip dan dalam masa sama, kumpulan ini harus beri jaminan kepada bangsa dan agama lain yang akan diterima sebagai kumpulan rakyat Malaysia yang dilindungi,” katanya menurut Berita Harian.

Musa berkata, PKR pula terdiri daripada parti politik yang membawa konsep pelbagai bangsa.

“Seperti PKR pula, parti itu terdiri daripada parti politik yang mengatakan mereka percaya akan multiracialisme (pelbagai bangsa)…ada daya penarik mereka sendiri bukan sahaja dalam kalangan bukan Melayu, ada muda-mudi Melayu yang tertarik kepada kumpulan ini,” katanya.

Mengulas lanjut “daya penarik” parti bukan berpaksikan Melayu seperti DAP, Musa berkata, beliau pernah dijemput ke pelancaran buku Lim Kit Siang dan terkejut kerana mendapati ramai hadirin adalah orang Melayu dalam kalangan orang muda.

Katanya, ia menunjukkan DAP dan PKR memiliki ideologi yang meluas sehingga dapat menarik orang Melayu-Islam menyokong parti bukan Melayu itu.

“Saya nak beritahu dengan terus terang, waktu Lim Kit Siang melancarkan bukunya. Dia jemput, saya pergi…bila saya pergi orang cakap ‘kenapa kau pergi?’. Saya balas ‘kenapa tidak’.

“Yang anehnya saya masuk dalam dewan itu, saya tengok banyak yang bertudung, budak Melayu. Ini serius, ramai betul. Ini tidak nampak macam mesyuarat DAP tetapi mereka penyokong dan ahli DAP. Itu keadaannya,” katanya.

Musa berkata, parti politik yang mewakili orang Melayu dan Islam perlu memperluaskan ideologi untuk diterima keseluruhan rakyat.

“Sebabnya, DAP dan PKR saya nampak dia punya ideologi lebih luas daripada (parti) yang Melayu dan Islam. Kepada yang menganggap dirinya parti politik yang mewakili orang Melayu, Islam…mereka harus memperluaskan ideologi untuk diterima dalam kalangan orang Malaysia secara besarnya.

“PKR kebanyakan boleh kita anggap sebagai liberal demokratik racial…itu pandangan saya. PKR, saya nampak merupakan kumpulan idealisme Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: