"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Resolusi temurapat pimpinan PH: Pakatan Harapan sedia hadapi pilihan raya

BORHAN AHMAD

Pakatan Harapan menegaskan kesediaan mereka untuk memasuki serta memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa.

Kesediaan ini dicapai dalam temurapat di Seremban, Negeri Sembilan yang telah mengumpulkan kesemua pimpinan utama dan pimpinan negeri parti-parti Pakatan Harapan khusus bagi membincangkan strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Kami menerima baik dapatan-dapatan kajian yang menunjukkan peningkatan sokongan terhadap Pakatan Harapan dari kalangan semua kaum sejak dua bulan kebelakangan ini.

“Mengambil kira semangat temurapat, Pakatan Harapan menegaskan kesediaan untuk memasuki serta memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa,” kata resolusi yang dicapai dalam temurapat itu.

Sebahagian pimpinan Pakatan Harapan yang menyertai temurapat di Seremban hari ini.

Namun begitu, dalam masa yang sama, Pakatan Harapan sangat gusar dengan suasana ekonomi yang tidak menentu, kenaikan harga barang yang mendadak, dan pengurusan ekonomi yang tidak memuaskan.

Ini turut dilihat dalam dapatan kajian yang menunjukkan 4 dari 5 rakyat Malaysia menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan ekonomi negara.

“Kesan daripada kegagalan menguruskan ekonomi ini lebih terasa di kalangan rakyat di Sabah dan Sarawak, walaupun kita bakal menyambut Hari Malaysia yang ke-59,” kata kenyataan itu.

Pakatan Harapan juga amat risau dengan ramalan Jabatan Meteorologi yang menjangkakan keadaan hujan lebat sehingga akhir tahun.

“Kami menyokong sepenuhnya cadangan agar Kerajaan-Kerajaan Negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan mengisytiharkan ‘kecemasan iklim’ (climate emergency) sebagai langkah proaktif menghadapi fenomena banjir yang mungkin akan berlaku,” kata resolusi itu.

Pakatan Harapan berpandangan bahawa semua parti politik, Kerajaan Persekutan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri perlu meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi membantu rakyat yang akan berdepan dengan ancaman banjir kelak.

“Oleh itu, temurapat memutuskan bahawa sebarang tindakan untuk memanggil Pilihan Raya di musim bencana banjir ini adalah sangat tidak bertanggungjawab,” kata resolusi itu.

Bagi membina gelombang rakyat ke arah Pilihan Raya Umum ke-15, Pakatan Harapan akan memulakan siri jelajah ‘road show’ melibatkan kesemua pimpinan utama bermula Oktober.

Satu Konvensyen Pakatan Harapan pula akan diadakan pada pertengahan Oktober.

Dalam pada itu, semua urusan rundingan kerusi serta manifesto Pakatan Harapan akan diselesaikan menjelang Konvensyen Pakatan Harapan tersebut.

Tiada ulasan: