"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jel tempat menebus dosa, bukan berselesa

A Kadir Jasin

Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah antara hospital tertua, terbesar dan terlengkap di Malaysia.

Ubat generik adaIah sama dari segi ramuan dengan ubat berjenama, tetapi ia lebih murah. Kalau banyak duit, belilah sendiri ubat berjenama.

HKL dibina pada 1870. Justeru tidak hairanlah kalau hari ini ada bermacam-macam pakar di situ. Cakap saja sakit apa, adalah doktor untuk mengubatinya.

Kalau seseorang mengadu sakit perut atau usus dan terkenal pula - macam Najib Razak - dia akan dirawat oleh pakar gastroenterologi. Bagi pesakit biasa, selalunya yang buat pemeriksaan dulu ialah doktor perubatan am atau GP (general practitioner).

Apabila sah masalahnya serius barulah pesakit dirujuk kepada doktor pakar.

Katakan ahli gastroenterologi terbabit tidak jumpa apa-apa masalah serius, dia prescribed-lah ubat biasa macam ubat gastrik atau kembung dan pesakit disuruh balik.

Tapi kalau dengan tidak semena-mena seseorang itu berasa sakit leher dan belakang, pakar ortopedik pula akan periksa. Perubatan autopedik ini berkaitan sistem otot rangka (tulang, sendi, ligamen, tendon, otot, dan saraf).

Boleh beli ubat sendiri

Untuk lebih meyakinkan, dia juga mungkin diperiksa oleh pakar neurologi iaitu berkaitan sistem saraf pusat dan periferi, otak, tulang belakang dan tisu penyambung di sekelilingnya.

Katakan, setelah diperiksa oleh semua jabatan perubatan yang ada di HKL tapi tak jumpa sebarang masalah luar biasa, pihak hospital atau pesakit sendiri boleh cadangankan supaya dia dirujuk kepada pakar psikiatri di Klinik Psikiatri & Kesihatan Mental HKL.

Manalah tahu dia mengalami masalah psikiatri.

Psikiatri ini adalah kajian dan rawatan berkenaan penyakit mental, gangguan emosi dan kelakuan aneh. Tapi tentulah tidak ramai pesakit mahu mengaku dia mengalami masalah mental.

Namun adalah biasa bagi kita mengalami tekanan jiwa dan gangguan mental dalam keadaan tertentu.

Tapi kalau kita kaitkan semua itu dengan Najib, ia adalah tidak perlu sebab kesihatan dia berstatus "a OK" macam kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan media, dia kata, Najib disahkan sihat sebelum dilepaskan dari HKL. Najib dimasukkan ke HKL pada 9 Sept sebagai kes bukan kecemasan (non-emergency case) bagi memastikan kesihatannya berada di tahap terbaik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pula berkata, mengikut peraturan penjara, banduan hanya boleh dirawat di hospital kerajaan.

Tapi Khairy kata, boleh beli ubat sendiri kalau tidak mahu ubat yang dibekalkan hospital kerajaan.

Semua ini boleh dijadikan pengajaran. Kalau tidak mahu disiasat, ditangkap, dibicarakan dan dipenjarakan - janganlah lakukan jenayah.

Penjara bukan istana. Ia adalah tempat menghukum dan memulihkan penjenayah.

Tiada ulasan: