"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Alahai sang politikus

Mohsin Abdullah

Dulu, sebenarnya tak berapa dahulu, Muhyiddin Yassin si presiden Bersatu (dan rakan-rakan dalam partinya) kerap mengherdik Ahmad Zahid Hamidi, si presiden Umno supaya letak jawatan kerana menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah.

Sekarang beliau sendiri dituduh di mahkamah atas dakwaan rasuah juga namun Muhyiddin kekal presiden Bersatu. Nanti. Jangan dituduh beliau cakap tak serupa bikin atau “kata orang dia yang lebih”.

Sebab Muhiyuddin masih pegang jawatan presiden Bersatu kerana partinya mahu beliau terus jadi presiden. Beliau memberitahu perwakilan perhimpunan agung tahunan Bersatu semalam beliau sudah menawarkan untuk letak jawatan tetapi ditolak majlis tertinggi parti.

Sebenarnya selepas dihadapkan ke mahkamah Jumaat lalu, Muhyiddin ketika ditanya sama ada akan melepaskan jawatan presiden parti berkata beliau serah kepada majlis tertinggi. Pada hemat saya tiada siapa yang menjangka majlis tertinggi akan mengambil apa-apa keputusan selain menolak perletakan jawatan bos mereka. Menurut Hamzah Zainudin, si setiausaha agung Bersatu, majlis tertinggi mengambil keputusan itu kerana pertuduhan ke atas Muhyiddin dibuat “atas jawatan beliau sebagai presiden Bersatu dan bukannya pertuduhan atas kapasiti peribadi”.

Maaf saya bertanya. Pertuduhan atas kapasiti presiden mahupun peribadi bukankah ia membabitkan orang yang sama dan pertuduhan yang sama? Pelik kenyataan Hamzah walaupun mungkin beliau bercakap mengenai mempertahankan institusi presiden.

Apa pun sehari selepas majlis tertinggi Bersatu membuat keputusan, Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu pada perhimpunan agung Bersatu mengemukakan usul menolak perletakan jawatan Muhyiddin. Bukanlah sesuatu yang meranjatkan lebih 1,000 perwakilan menyokong usul itu. Kekallah Muhyiddin sebagai presiden.

Teringat saya akan Wan Saiful Wan Jan. Si bekas ketua penerangan Bersatu. Beliau juga beberapa minggu lalu didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Wan Saiful dikatakan terus meletak jawatan. Saya guna istilah “dikatakan” kerana ada beberapa laporan (yang tidak dinafikan) bertarikh 22 Februari 2023 memetik Muhyiddin berkata, “Saya sudah berjumpa dengan Datuk Wan Saiful pagi tadi dan setelah berbincang beliau bersetuju untuk meletakan jawatan berkuatkuasa hari ini.”

Apa maksud Muhyiddin “setelah berbincang (dengan Wan Saiful) beliau (Wan Saiful) setuju letak jawatan”? Adakah ini bererti pada perbincangan yang Muhyididn rujuk itu, Wan Saiful dipujuk, dinasihati, atau diarah letak jawatan serta-merta? Atau sememangnya Wan Saiful letak jawatan dengan rela? Jika begitu apa perlunya Muhyiddin kata apa yang beliau kata yakni Wan Saiful setuju letak jawatan setelah berbincang.

Apa pun hakikatnya Wan Saiful sudah letak jawatan dan Muhyiddin bersama partinya menerima perletakkan jawatan itu kerana “perletakan jawatan bukan bermaksud beliau bersalah dalam kes mahkamah yang dihadapinya”. Adakah pertuduhan dibuat ke atas Wan Saiful atas kapasiti jawatan yang dipegang atau peribadi? Sekadar mengimbau logik Hamzah ketika menjustifikasikan keputusan majlis tertinggi parti menolak perletakan jawatan Muhyiddin.

Berbalik soal Wan Saiful. Apa yang dinyatakan Muhyiddin seterusnya amat menarik. Perletakan jawatan Wan Saiful dibuat “supaya apa tidak timbul salah pandangan terhadap parti”.

Kata Muhyiddin lagi: “Ini set standard kerana dia sudah berhadapan dengan tuduhan, supaya tak timbul salah pandangan terhadap Bersatu, beliau sendiri menyatakan akan meletak jawatan. Ini satu tindakan yang saya hargai. Ia satu sifat mulia yang saya sanjung supaya dengan cara ini kita dapat menjawab atas dasar bermaruah. Ini bukan menghukum tapi dia secara sukarela.”

Mengulas penolakan perletakan jawatan presiden, Wan Saiful berkata beliau dilantik (oleh presiden?) memegang jawatan ketua penerangan, lantas ada tanggungjawab untuk melepaskan jawatan itu. Manakala Muhyiddin pula, kata beliau, “dipiih sebagai presiden oleh ahli parti dan mereka menuntut beliau kekal”. Terpulang setuju atau tidak dengan penjelasan itu.

Bagaimanapun jika seseorang ketua penerangan yang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah perlu undur supaya parti tidak “disalah pandang” bak kata Muhyiddin, bagaimana pula jika seseorang presiden yang didakwa rasuah di mahkamah? Tidakkah dengan kekalnya sebagai presiden “parti akan disalah pandang” atau imej parti tercalar dan tercemar?

Ringkasnya. Adakah hujah, alasan, serta justifikasi yang digunakan Muhyiddin untuk kes Wan Saiful tidak terpakai untuk kes beliau?

Tiada ulasan: