"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selangor larang program libat umat Islam di rumah ibadat agama lain

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor melarang penganjuran program melibatkan umat Islam di rumah ibadat agama lain di negeri itu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Zawawi Mughni, berkata wujud badan bukan kerajaan (NGO) aktif menganjurkan program berbentuk kefahaman dan nilai toleransi antara agama sejak kebelakangan ini.

Katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sentiasa memantau dan mengambil tindakan kepada pihak yang melanggar peraturan.

“Kesalahan itu mengikut Seksyen 5 dan Seksyen 6 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dipercayai selepas dakwaan ahli Bersatu, Che’GuBard atau Badrul Hisham Shaharin dalam catatan di Facebooknya kelmarin mendakwa “Projek Artikel 11”, program agensi bawah Kementerian Belia dan Sukan menganjurkan aktiviti “evangelist” atau dakwah ke arah agama Kristian.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membidas dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai fitnah melampau.

Pemimpin DAP itu berkata, tuduhan berkenaan sebagai cubaan menjadikan beliau “punching bag” bagi menutup dakwaan salah laku dihadapi pimpinan Bersatu.

Yeoh kemudian membuat laporan polis terhadap Che’GuBard berhubung tuduhan agensi bawah Kementerian Belia dan Sukan itu menjadi “Kristian Evangelist” selepas pelantikannya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai “ajakan” kepada golongan Muslim untuk menziarahi gereja namun Projek Impact Malaysia turut melibatkan rumah ibadat bagi agama lain termasuk ziarah masjid.

Dalam pada itu, Zawawi berkata kerajaan negeri sentiasa menghormati kemajmukan dan perbezaan agama.

“Justeru, setiap NGO perlu lebih berhati-hati dalam menganjurkan program yang melibatkan sensitiviti keagamaan. Jika terdapat sebarang kemusykilan, pimpinan NGO boleh merujuk kepada Jais dan Jabatan Mufti bagi pertanyaan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan: