"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan PN sedia RM7.1 bilion biaya 67 projek bawah Jana Wibawa

Yasmin Abdul Latif

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu memperuntukkan RM7.163 bilion untuk membiayai 67 projek bawah Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa), kata Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan.

“Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) ada dua projek, Jabatan Perdana Menteri (2), Kementerian Air dan Sumber Asli (7), Kementerian Kesihatan (1), Jabatan Kerja Raya (3), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (42).

“Kementerian Pendidikan (4), Kementerian Pendidikan Tinggi (4), Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kementerian Pertahanan masing-masing satu projek. Jumlah keseluruhannya sebanyak RM7.163 bilion,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Terdahulu, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berdepan tujuh pertuduhan berkait projek Jana Wibawa.

Pagi tadi, pengerusi PN itu mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi tuduhan pengubahan wang berhubung program Jana Wibawa, selepas beliau meminta dibicarakan atas empat tuduhan meminta rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta pada Jumaat lalu.

Hutang 1MDB

Menjawab soalan Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung jumlah hutang 1MDB, Ahmad berkata, jumlah hutang diambil alih sebanyak RM53.5 bilion.

Setakat ini, katanya, RM24.5 bilion dibayar kerajaan melalui “shareholder advance” atau pinjaman dan bayaran melalui akaun amanah sebanyak RM19.3 bilion, menjadikan keseluruhan hutang dilangsaikan berjumlah RM43.8 bilion.

“Jumlah baki hutang belum dibayar ialah RM9.7 bilion yang merupakan prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4.7 bilion.

“Tetapi, kita dapat aset diperoleh daripada 1MDB adalah RM20.3 bilion dan kita juga dapat penyelesaian International Petroleum Investment Company (Ipic) lebih kurang RM8 bilion,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan dua firma pelaburan Abu Dhabi itu bersetuju membayar USD1.8 bilion kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan 1MDB.

Katanya, penyelesaian itu dicapai menerusi prosiding di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London dan Mahkamah Tinggi London.

Tiada ulasan: