"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wilayah Persekutuan pula larang penceramah tak bertauliah

N Faizal Ghazali

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini mengeluarkan peringatan agar semua masjid dan surau di bawah pentadbirannya mematuhi arahan untuk memastikan intitusi itu kekal sebagai zon aman dan bebas daripada pengaruh politik.

Pengarahnya Mohd Ajib Ismail berkata semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan tertakluk kepada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505), Kaedah-kaedah Pentadbiran Undang-undang Islam (Jawatankuasa Kariah 2019) dan pekeliling semasa.

Katanya ia bagi memastikan institusi tersebut ditadbir secara efisien dan profesional khususnya melibatkan program pengimarahan dan pengajian agama.

"Masjid dan surau di ilayah-wilayah Persekutuan hendaklah memastikan semua penceramah mempunyai tauliah mengajar Islam serta kekal sebagai zon aman dan bebas daripada sebarang pengaruh politik kepartian," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Wilayah Persekutuan adalah antara negeri yang mengenakan peraturan hanya penceramah bertauliah dibenarkan memberi kuliah atau syarahan di masjid dan surau.

Sebelum ini sudah ada beberapa negeri turut mengenakan peraturan sama, termasuk Selangor, Terengganu dan Perak.

Terdahulu isu program ceramah atau kuliah agama menjadi tumpuan selepas beberapa negeri menegaskan sekatan menyampaikan kuliah bagi mereka yang tidak mempunyai tauliah termasuk ahli-ahli politik.

Pada 26 Feb lalu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membatalkan program ceramah oleh penceramah bebas Azhar Idrus di sebuah masjid negeri itu susulan ketiadaan tauliah.

Azhar kemudiannya akur dan kuliahnya pada tarikh tersebut dipindahkan dan berlangsung di Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Kuala Lumpur, yang terletak di bawah bidang kuasa Jawi.

Mohd Ajib berkata sebarang pelanggaran terhadap ketetapan berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Institusi masjid dan surau seharusnya menjadi medan yang memberikan pencerahan kepada ummah, menyebarkan semangat muhibah dan perpaduan, bukan sebaliknya menjadi punca kekeliruan, perbalahan dan persengketaan yang memecahbelahkan masyarakat," jelasnya.

Tiada ulasan: