"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi ragu pemimpin pembangkang sanggup dipenjara

Isabelle Leong

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan keraguannya sekiranya Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin sanggup mengambil risiko untuk dipenjarakan demi mendedahkan fail-fail yang didakwa disimpan sejak menjadi menteri dalam negeri.

Rafizi berkata, dia melihat dakwaan Hamzah tidak lebih sekadar retorik kerana mempertaruhkan dirinya sendirinya sekiranya memilih untuk mendedahkan fail-fail berkenaan.

“Saya tak terlalu bimbang kerana saya meragui mana-mana ahli politik yang ingin mengambil risiko masuk penjara.

"Jika saya Hamzah, jika mereka (ahli politik pembangkang) mahu mendedahkan (fail berkenaan) maka mereka mendedahkan diri mereka kepada semua ini (hukuman penjara)... saya ragu begitu," katanya selepas melancarkan Majlis Banci Ekonomi 2023 di Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi diminta mengulas mengenai pendedahan Hamzah bahawa pemimpin Bersatu itu memiliki "banyak fail" berkaitan pemimpin kerajaan semasa menjadi menteri.

Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bagaimanapun berkata Hamzah mungkin melakukan kesalahan undang-undang jika menyimpan sebarang dokumen sensitif dan menggesa dia disiasat kerana bersubahat dalam melindungi ahli politik tertentu dalam kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, yang juga seorang peguam, berkata kenyataan Hamzah itu bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan sumpah rahsia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membangkitkan isu bahawa Hamzah mungkin melakukan kesalahan jenayah jika menyimpan fail yang diletakkan di bawah OSA.

Rafizi berkata pembangkang perlu mempertimbangkan apakah pendedahan tersebut akan melibatkan kepentingan orang ramai sebelum mereka mahu berbuat demikian.

Bercakap berdasarkan pengalaman sendiri yang pernah didapati bersalah kerana melanggar OSA pada 2016, Rafizi menegaskan dia mendedahkan dokumen sulit mengenai skandal 1MDB, yang berada dalam simpanannya tanpa kebenaran, dengan niat “menyelamatkan orang ramai melebihi daripada segala-galanya”.

“Pastikan ia tidak serkap jarang dan mengambil kesempatan politik daripadanya.

“Orang ramai jauh lebih bijak. Kita tunggu dan lihat sahaja.

“Sekiranya ada skandal besar yang melibatkan sesiapa, dokumen itu akan keluar sekarang. Media pasti dapat” kata timbalan presiden PKR itu.

Tiada ulasan: