"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hannah Yeoh: PAS fitnah saya lagi, kali ini isu Sukma

Malaysiakini 

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyangkal dakwaan seorang pemimpin PAS bahawa Kelantan dinafikan hak menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2024 seperti yang tular di pelbagai platform media sosial ketika ini.

Yeoh berkata pihaknya juga telah membuat laporan polis terhadap dakwaan terbabit berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed yang disiarkan Harakah dan Facebook.

“PAS fitnah saya lagi. Kami di KBS Malaysia tidak menafikan hak Kelantan untuk menjadi tuan rumah Sukma.

“Semalam, exco Kelantan bersama saya di KBS dan bersetuju untuk menganjurkan Sukma 2028 untuk memberikan mereka tempoh persiapan yang lebih panjang. Infrastruktur perlu masa untuk dibina,” katanya pada catatan Facebook hari ini.

Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed.
ADS

Tegas Yeoh, Sarawak akan menganjurkan Sukma 2024, diikuti Majlis Sukan Negara bagi Sukma 2026.

Yeoh memetik kenyataan Mohamad Kamal yang mendakwa Kelantan dinafikan haknya apabila KBS menarik balik penggiliran Sukma kepada Kelantan pada tahun 2024 dan ditukarkan dengan pemilihan kepada Sarawak.

Menurut Mohamad Kamal penukaran tersebut berlaku kerana Yeoh merupakan menteri DAP yang sememangnya terkenal dengan guna kuasa dalam senyap.

“Anak muda Kelantan akan catitkan penafian giliran Sukma ini dalam sejarah politik atas terma kuasa dan penafian hak terhadap Kelantan.

"Untuk kesekian kalinya Kelantan kekal satu-satunya negeri yang tidak pernah diberikan hak menganjurkan Sukma,” dakwa pemimpin PAS itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Ahmad Shapawi Ismail (gambar, atas) menyifatkan penularan info tidak benar itu sangat tidak bertanggungjawab,

“Segala kenyataan itu menyimpang daripada hakikat dan iltizam Jawatankuasa Tertinggi Sukma bagi memastikan semua negeri berpeluang menjadi tuan rumah Sukma.

“Keputusan bersama itu dicapai hasil perbincangan di antara saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Roslan Wan Mahat dan diluluskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang bermesyuarat pada 16 Mac 2023,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shapawi berkata keputusan supaya Kelantan menjadi tuan rumah Sukma 2028 bagi memberikan masa tambahan kepada kerajaan negeri menyiapkan kemudahan penganjuran temasya sukan kebangsaan itu.

Kelantan satu-satunya negeri yang belum pernah menganjurkan Sukma.

Tiada ulasan: