"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

16 laporan polis berhubung ceramah hina institusi diraja

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis Johor menerima 16 laporan berhubung satu video yang memaparkan ceramah berunsur penghinaan terhadap institusi diraja yang tular, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung satu video berdurasi 31 saat itu.

Katanya, menerusi video itu, ia memaparkan seorang penceramah lelaki membuat kenyataan didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap institusi diraja.

"Siasatan kes ini dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, bagi perbuatan menghasut, individu boleh dipenjara tiga tahun dan denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, manakala bagi perbuatan membuat kenyataan yang mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara, individu boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

"Bagi penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, mereka boleh didenda RM50,000 atau penjara selama setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, polis menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan yang boleh mendatangkan ketidakharmonian serta mendatangkan kegentaran awam.

Tiada ulasan: