"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Berang ditegur guna jari ambil lauk, 3 lelaki pukul pekerja restoran

Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat memukul dua pekerja restoran nasi kandar terkemuka di Cyberjaya dekat Putrajaya semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata tiga lelaki berumur antara 50 dan 51 itu ditahan berasingan di Balai Polis Cyberjaya dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang antara pukul 1.40 pagi dan 10 pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, tiga lelaki itu yang berkunjung ke restoran berkenaan untuk makan dipercayai bertindak memukul pekerja kedai setelah salah seorang daripada mereka ditegur kerana menggunakan jari untuk mengambil lauk di seksyen nasi kandar kedai berkenaan.

"Suspek dikatakan menggunakan jarinya untuk mengambil lauk dalam keadaan mabuk… Akibat ditegur, mereka telah bertindak agresif dan mula memukul pekerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pekerja kedai itu turut dipukul menggunakan pengepit makanan besi di bahagian kepala dan badan, menyebabkan mereka mengalami lebam serta luka, antaranya di bahagian kepala, badan, leher, bahu serta tangan, dan insiden pergaduhan itu menjadi tular di media sosial.

Wan Kamarul berkata kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 427 dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan tindakan menakut-nakutkan secara jenayah.

Beliau berkata seorang daripada yang ditahan itu merupakan pemandu pelancong yang mempunyai enam rekod jenayah dan lima kes dadah, manakala seorang lagi adalah pemandu teksi dengan tiga rekod jenayah dan dua rekod dadah.

Katanya seorang daripada lelaki berkenaan telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini, dan polis akan memohon untuk menahan reman dua lagi suspek esok.

- Bernama

Tiada ulasan: