"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah keluar waran tangkap exco Terengganu

Hidir Reduan Abdul Rashid

Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu mengeluarkan waran tangkap terhadap exco negeri Mohd Nor Hamzah yang tidak hadir hari ini untuk menyambung keterangan dalam pendengaran petisyen pilihan raya bagi membatalkan kemenangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang.

Peguam Amin Othman, yang bertindak bagi pempetisyen Jasmira Othman berkata hakim Hassan Abdul Ghani mengeluarkan waran tangkap apabila Mohd Nor tidak hadir pada prosiding hari ini.

Jasmira merupakan calon BN bagi kawasan itu semasa pilihan raya umum lalu.

“Pada 14 Mac, Hassan Abdul Ghani telah mengarahkan Mohd Nor untuk kembali ke mahkamah pada 16 Mac untuk menyambung semula keterangannya.

"agaimanapun pada pagi 16 Mac (hari ini), Mohd Nor gagal hadir ke mahkamah.

“Oleh itu, atas permohonan peguam pempetisyen, mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nor.

"Perbicaraan petisyen pilihan raya Parlimen Marang akan disambung pada 19 Mac," kata Amin kepada Malaysiakini.

Media sebelum ini melaporkan petisyen itu difailkan pada 3 Jan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Ketua Umno Terengganu Ahmad Said dilaporkan berkata antara perkara yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah dakwaan PAS telah merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri - melalui inisiatif i-Pension, i-Belia dan i-Student - antara 15 dan 17 Nov 2022 menjelang PRU15.

Abdul Hadi mempertahankan kerusi Marang dengan majoriti 41,729 undi, menewaskan tiga calon lain - Jasmira, Azhar Ab Shukur (PH) dan Zarawi Sulong (Pejuang).

Sementara itu peguam Yusfarizal Yusoff, yang bertindak bagi responden menjelaskan Mohd Nor pada mulanya memohon untuk hadir pada sebelah petang memandangkan saksi ada urusan penting yang perlu diselesaikan.

Peguam itu menjelaskan bahawa mahkamah pilihan raya bagaimanapun tidak membenarkan dan mahu saksi itu datang pagi ini, dan waran tangkap dikeluarkan apabila saksi tidak hadir.

"Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap untuk YB (Mohd Nor) untuk terus memberi keterangan pada Ahad," kata Yusfarizal ketika dihubungi.

Hari kelepasan am Terengganu adalah pada hari Jumaat dan Sabtu, oleh itu mahkamah di negeri ini beroperasi pada hari Ahad hingga Khamis (jika tiada sebarang cuti umum lain).

Tiada ulasan: