Shahbudin Husin
Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Noh Omar – entah mimpi apa – tiba-tiba saja membangkitkan tentang kedudukan serta jawatan Menteri Besar daripada parti yang sudah ditinggalkannya.
Katanya, jika UMNO tidak bersama dengan PH, parti itu akan mendapat jumlah kerusi yang lebih besar dalam PRN akan datang ini.
“Kalau UMNO memilih bersama PN, parti itu sekurang-kurangnya akan beroleh 20 kerusi untuk mereka tandingi, selebihnya barulah untuk Pas dan Bersatu.
“Kalau menang, corfirm calon Menteri Besar daripada UMNO sebab ada 20 kerusi.
“Tapi sedih sekali, dengan bersama PH, UMNO umpama melukut di tepi gantang kerana hanya diberikan 12 kerusi saja,” ujarnya.
Dengan bertanding 12 kerusi itu, Noh juga menyifatkan UMNO bukan lagi parti untuk orang-orang Melayu berteduh, tetapi mendakwa, sudah dibocorkan oleh Zahid Hamidi.
Ehh…ehh…Noh ni masih rindu dengan UMNO lagi ke?
Dalam hal ini, Noh sepatutnya tidak lagi membangkitkan kemungkinan UMNO patut bersama PN kerana sejak keputusan PRU15 lalu, parti itu sudah pun membuat ketetapan untuk bersama dengan PH bagi membentuk kerajaan perpaduan sebagaimana perkara itu telah dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong.
Tindakan Noh terus membangkitkan jika UMNO memilih bersama PN pada ketika ini tidak lebih hanya menggambarkan kerinduannya yang masih mendalam kepada UMNO, walaupun sejak dipecat daripada parti itu beliau sudah memilih untuk memberi sokongan kepada PN.
Selain itu, dengan mengatakan UMNO akan memperolehi jawatan Menteri Besar jika parti itu bersama PN, turut memberi gambaran penolakan dalam jiwa Noh sendiri terhadap calon Menteri Besar daripada PN iaitu Azmin Ali.
Meskipun tidak diumumkan secara rasmi, malah PN juga menetapkan tiada poster boy dalam PRN Selangor, namun bukanlah rahsia lagi bahawa Azmin merupakan calon pilihan sebagai Menteri Besar dalam blok pembangkang itu.
Mahiaddin Md Yasin selaku Pengerusi PN dan Presiden Bersatu diberitakan begitu kukuh dan tidak berganjak pendiriannya mahukan Azmin mengisi jawatan Menteri Besar jika gabungan itu beroleh kemenangan.
Untuk itu, terlanjur sudah bersama PN, Noh tidak sepatutnya lagi memperlihatkan kecenderungan yang berterusan mahu kerusi Menteri Besar diisi oleh pemimpin lain atau menimbulkan persepsi UMNO boleh memperolehinya.
Beliau seharusnya menyokong dan mendokong penuh Azmin, bukan menimbulkan gambaran atau persepsi lain yang hanya memperlihatkan gelodak cetusan dalam jiwanya yang menolak dan tidak mahu Pengerusi PN Selangor itu menjadi Menteri Besar.
Lebih daripada itu, memberi gambaran dengan bersama PN dan kemudian bertanding 20 kerusi akan memberi jaminan UMNO bakal mendapat jawatan Menteri Besar adalah tidak tepat sama sekali.
Meski 20 kerusi mungkin ditandingi, boleh menangnya berapa kerusi?
Lupakah Noh, malah ketika beliau mengetuai UMNO Selangor sebelum ini pun, berapa kerusi mampu dimenangi parti itu?
Apa pun, hati-hati Min…nampaknya seperti dalam selimut PN sudah ada musuh yang perlu diawasi?
Juga Min, tanyalah Noh, kenapa dia masih belum menjadi ahli Bersatu atau Pas sehingga sekarang? – ShahbudinHusin 25/06/2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan