"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN akan menang 5-1, tapi tak boleh tembus Pulau Pinang - Mahathir

Malaysiakini 

Dr Mahathir Mohamad yakin Perikatan Nasional (PN) mampu  menang di lima daripada enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN), pada 12 Ogos ini.

Bagaimanapun, katanya,  gabungan parti pimpinan  Muhyiddin Mohd Yassin itu diramal tidak dapat menembusi Pulau Pinang.

"Saya berpendapat PN mempunyai potensi baik iaitu mereka mungkin menang semua negeri di Pantai Timur (Kelantan dan Terengganu), selain di Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan..

Bekas perdana menteri itu berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sebuah majlis di Langkawi, hari ini.

“Kita dapati bahawa sentimen orang ramai bertukar. Tidak seperti pilihan raya dahulu. 

“Orang Melayu umpamanya berasa curiga tentang masa depan mereka, terutamanya generasi tua, generasi lama kerana mereka lihat kedudukan mereka tidak berubah, masih miskin dan berasa tertekan. 

“Mereka tak dapat petunjuk atau cadangan daripada kerajaan bagaimana untuk mengatasi masalah mereka,” katanya.

Ditanya mengenai ramai calon yang dijangka bertanding atas tiket Bebas, dia berkata, mereka bukanlah calon yang serius.

“Apa boleh buat orang perseorangan yang jadi calon bebas? Dia tak boleh buat apa pun.  Dia boleh pergi ke Parlimen, bercakap. Tapi tak ada kesan sama sekali.

“Yang berkesan kalau kita jadi kerajaan. Sebab itu dalam pilihan raya hasratnya nak mendirikan kerajaan, bukan nak jadi wakil rakyat,” katanya.

Pada sidang media itu, Mahathir juga menjelaskan bahawa kehadirannya dalam program PN sejak kebelakangan ini bukan bermakna dirinya menyertai mana-mana parti.

Katanya, penampilannya hanya untuk menyokong mereka kerana mempunyai objektif yang sama.

“Saya hanya hadir untuk perjumpaan. Saya tidak menyertai PAS. Bukan PAS, bukan PN mahu pun Putra. Saya bebas daripada semua parti politik.

“Mereka (PAS) mempunyai objektif sama dengan saya, jadi saya akan sokong mereka. 

“Kami lihat kerajaan sekarang adalah kerajaan yang dipanggil sebagai kakistokrasi yang tidak tahu bagaimana hendak memerintah. Jadi kita perlu ubah (kerajaan),” katanya.

Mahathir juga pernah bersama Bersatu tetapi kemudiannya dipecat oleh Muhyiddin.

Tiada ulasan: