FMT Reporters
Suspek dibenarkan reman empat hari sehingga 31 Julai untuk siasatan rasuah salah guna Visa Luar Negara (VLN) bagi membawa masuk warga Bangladesh.
PETALING JAYA: Dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa sebuah Suruhanjaya Tinggi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa bersubahat menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) untuk membawa masuk warga Bangladesh.
Sumber SPRM berkata turut ditahan pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja, dipercayai bersekongkol dengan pegawai terbabit untuk meluluskan visa warga Bangladesh, kononnya untuk melancong namun sebaliknya bekerja di Malaysia.
Menurutnya, siasatan mendapati pegawai terbabit bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia sejak 2021 dan menerima bayaran sekitar USD300 ke USD500 bagi setiap kelulusan permohonan VLN.
“Ia membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta, meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja,” katanya.
Sumber berkata, penahanan itu adalah ketiga membabitkan pegawai agensi penguat kuasa untuk membantu siasatan Op Taka dilancarkan April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Imigresen.
Suspek yang berusia lewat 30-an ditahan 6.30 petang semalam di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Majistret M Mageshwary membenarkan suspek direman empat hari sehingga 31 Julai selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Shah Alam hari ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan menjelaskan siasatan dibuat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan