Malaysiakini
PKR malam tadi mengumumkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di kesemua enam negeri yang akan berlangsung pada 12 Ogos depan.
Bertempat di Laman MBSA Shah Alam, Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengumumkan senarai 58 calon daripada parti itu yang akan bertanding di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Malaysiakini menyorot senarai calon dan kerusi DUN yang menarik untuk diperhatikan.
DI SELANGOR, PKR akan merebut kerusi N18 Hulu Kelang, di mana bekas timbalan presidennya, Azmin Ali dijangka bertanding di kerusi itu bagi mewakili Perikatan Nasional (PN).
DUN berkenaan dimenangi calon Amanah, Saari Sungib pada 2018.
Pada PRN kali ini, PKR meletakkan Juwairiya Zulkifli, yang berpindah daripada kerusi disandangnya di N10 Bukit Melawati.
Sebagai pertukaran, Anwar berkata PKR bersetuju menukar kerusi N41 Batu Tiga dengan Amanah, sekali gus menggugurkan penyandangnya, Rodziah Ismail daripada bertanding dalam PRN kali ini.
Rodziah, yang menyandang kerusi DUN itu selama tiga penggal berturut-turut sejak 2008, juga merupakan ahli parlimen Ampang setelah memenangi kerusi parlimen itu pada pilihan raya umum lalu.
PRN kali ini juga menyaksikan PKR menyerahkan N17 Gombak Setia kepada Umno.
Kerusi itu dimenangi oleh Hilman Idham, yang keluar daripada PKR pada 2020.
Umno pada Jumaat lalu mengumumkan parti itu mempertaruhkan Megat Zulkarnain Omardin, yang merupakan ketua perhubungan Umno Selangor untuk bertanding di Gombak Setia.
Sementara itu dalam keputusan yang dilihat mengejutkan, PKR mengekalkan Adun N40 Kota Anggerik, Najwan Halimi untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Najwan yang merupakan wakil rakyat penggal pertama, baru-baru ini mencetuskan kontroversi selepas mesej Whatsappnya yang melabelkan PSM sebagai "parti India estet" telah bocor dan tular di media sosial, menyebabkan dia menerima kecaman hebat.
Ejekan turut kedengaran daripada mereka yang hadir pada majlis pengumuman calon malam tadi apabila nama Najwan diumumkan Anwar.
Bagaimanapun Anwar berkata keputusan PKR ditentukan oleh presiden parti dan menegaskan PKR adalah parti untuk semua kaum.
Secara keseluruhan, PKR akan bertanding di 20 kerusi di Selangor.
Di NEGERI SEMBILAN, PKR akan mempertahankan kesemua enam kerusi DUN yang dimenanginya pada 2018 iaitu N13 Sikamat, N14 Ampangan, N18 Pilah, N20 Labu, N29 Chuah dan N33 Seri Tanjung.
Parti itu bertanding sebanyak 14 kerusi pada pilihan raya umum ke-14, tetapi lapan daripadanya tewas kepada Umno.
Ismail Ahmad, yang merupakan Adun Labu bagi penggal pertama juga akan mempertahankan kerusinya, manakala empat muka baru akan bertanding di Ampangan, Pilah, Chuah dan Seri Tanjung.
DI PULAU PINANG, PKR mengumumkan 13 calon untuk mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya pada PRU14.
Lima penyandang akan mempertahankan kerusi di N14 Machang Bubok, N17 Bukit Tengah, N18 Bukit Tambun, N35 Batu Uban dan N39 Pulau Betong.
Sementara itu, penyandang Adun N36 Pantai Jerejak yang juga Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail telah digugurkan dan akan digantikan oleh Ketua Pemuda PKR (AMK) Permatang Pauh, Fahmi Zainol.
Pada masa yang sama pembantu peribadi Saifuddin, Lee Boon Heng akan bertanding di kerusi N24 Kebun Bunga.
Setiausaha politik Saifuddin, Johari Kassim juga akan diletakkan di N10 Seberang Jaya. Pada PRU14, kerusi itu dimenangi Afif Bahardin, yang kemudiannya keluar PKR untuk menyertai Bersatu pada 2020.
Parti itu menyerahkan kerusi N21 Sungai Acheh kepada BN.
Kerusi itu pernah menjadi kubu kuat Umno sebelum jatuh kepada PKR pada 2018.
Penyandang Adun Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim menyertai Bersatu pada 2020.
Di KEDAH, PKR meletakkan sermai 10 calon. Parti itu akan mempertahankan lima kerusi dan meletakkan tiga calon bagi bertanding di kerusi yang sama ada dimenangi Bersatu atau PAS pada 2018.
Zamri Yusuf merupakan satu-satunya penyandang yang mempertahankan kerusinya di N12 Suka Menanti.
Di N22 Gurun, penyandang kerusi DUN yang juga pemimpin veteran dalam PKR, Johari Abdul akan digantikan oleh anaknya, Mohamed Firdaus.
PKR juga akan meletakkan muka baru di DUN N34 Lunas dan N29 Sidam. Kerusi itu sebelum ini dimenangi PKR tetapi penyandangnya - Azman Nasrudin dan Dr Robert Ling Kui Ee -menyertai Bersatu pada 2020.
DI KELANTAN, PKR akan bertanding di enam kerusi, lima daripadanya sebelum ini ditandingi Amanah pada PRU14. Kesemua kerusi itu dimenangi oleh PAS.
Salah satu daripada enam kerusi tersebut iaitu N3 Pasir Pekan sebelum ini ditandingi Bersatu yang pada masa itu sebahagian daripada Pakatan Harapan. Kali ini, PKR meletakkan Zaman Sahri Ibrahim sebagai calon di kerusi berkenaan.
BN pada PRU14 juga bertanding menentang PH dan PAS di kesemua enam kerusi itu.
Sementara itu, PKR juga meletakkan Naziratun Aini Md Sayuti di N18 Pasir Tumboh sebagai satu-satunya calon wanita di negeri itu.
DI TERENGGANU, PKR hanya meletakkan tiga calon daripada 32 kerusi DUN. Angka itu turun daripada lapan kerusi yang ditandinginya pada PRU14.
Kali ini, PKR tidak meletakkan calonnya di mana-mana daripada lapan kerusi yang ditandingi sebelum ini, sebaliknya berpindah ke tiga kerusi yang ditandingi Amanah - N13 Wakaf Mempelam, N22 Manir dan N27 Sura.
Kelmarin BN mengumumkan akan bertanding di 108 kerusi di kesemua enam negeri, yang kebanyakannya di Kelantan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Julai sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Ogos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan