Malaysiakini
Abdul Hadi Awang hari ini menganggap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad kini sudah "kembali ke pangkal perjuangan" namun Anwar Ibrahim pula "meneruskan perjalanannya."
Kata Abdul Hadi, ahli-ahli PAS ialah Melayu yang tidak pelupa dan masih ingat bagaimana sebelum ini Mahathir pernah berada di pentas mereka berkempen iaitu selepas dia dipecat dari Umno.
Dakwa presiden PAS itu lagi Mahathir juga bersama-sama dengan mereka semasa menentang pelaksanaan dasar jus soli di negara ini
Menurut Abdul Hadi, Anwar berkempen untuk memburukkan PAS di seluruh dunia Islam dengan menggambarkan parti itu sebagai pelampau.
Anwar juga, dakwa Abdul Hadi, berusaha untuk menguasai Umno bersama pasukannya bagi mendapatkan kuasa dengan konspep matlamat menghalalkan segala cara sehinggalah dia dipecat dan bekerjasama dengan DAP.
"Seterusnya, (Anwar) berjaya memasukkan pengkhianat ke dalam Umno dan memecahkannya kepada satu kumpulan yang telah lari daripada landasan perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
"Dan (Anwar juga) berjaya memasukkan pengkhianat ke dalam PAS, namun golongan itu berjaya disingkirkan," katanya dalam hantaran di media sosial.
Ada dalam kabinet
PAS pernah berseteru dengan Mahathir dalam pelbagai isu dan bekas ahli parlimen Kubang Pasu serta Langkawi itu sering dikaitkan dengan tragedi berdarah Memali yang berlaku pada Nov 1985.
PAS menganggap semua 14 penyokong dan ahli parti itu yang terkorban dalam kejadian tersebut sebagai mati syahid.
Mahathir merupakan perdana menteri ketika itu.
Selain itu Mahathir turut dipersalahkan atas layanan kerajaan pusat ke atas Kelantan sejak negeri itu ditadbir PAS pada 1990. Namun pada akhir Mei lalu Abdul Hadi meletakkan kesalahan itu kepada Anwar selaku menteri kewangan kabinet Mahathir.
Akhir-akhir ini PAS bekerjasama dengan Mahathir muncul semula di pentas parti itu di Kota Bharu pada 21 Julai lalu.
Memetik laporan Malaysiakini berkenaan kenyataan Anwar, Abdul Hadi hari ini berkata, ahli parlimen Tambun berkenaan perlu ingat, semasa kejadian Memali, perdana menteri ke-10 itu berada dalam Umno.
"Anwar jangan pula lupa bahawa dia bersama dalam kerajaan ketika berlakunya perkara yang disebutkan itu (Memali) selepas dia menyertai Umno dan memberi rupa Islam dan wajahnya kepada Umno bagi menghadapi pengaruh PAS yang kembali bangkit selepas kehilangan Kelantan sebelumnya," tambah bekas duta khas bertaraf menteri tersebut.
Kini, dakwa Abdul Hadi, Anwar sendiri mendedahkan peranannya melemahkan politik Melayu dan Islam di negara ini dan pada masa sama menguatkan DAP.
"Tun Mahathir kembali ke pangkal perjuangannya, Anwar pula meneruskan perjalanannya," dakwa Abdul Hadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan