FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang buruh kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah atas pertuduhan merogol anak kandungnya pada 2016 dan 2017.
Lelaki berusia 52 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa yang ketika itu berusia 16 tahun dalam bilik air sebuah rumah di Pendang kira-kira 2.30 petang pada Disember 2016.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merogol anak perempuannya di bilik tidur kediaman sama kira-kira 4 petang pada bulan sama.
Mengikut pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa dalam bilik tidur di alamat sama kira-kira 9 pagi Februari 2017.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan atas tiga pertuduhan itu yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, menurut Sinar Harian.
Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha menawarkan ikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga tamat perbicaraan, jika diberikan jaminan.
Peguam A Surendran memohon anak guamnya diberi jaminan rendah atas faktor usia dan tertuduh hanya bekerja sebagai buruh kontrak dengan pendapatan tidak tetap.
Zaihan membenarkan tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan, selain melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 28 Ogos ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan