"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saingan 3 penjuru dijangka di 19 DUN Selangor

Bernama

SHAH ALAM: Menjelang hari penamaan calon bagi PRN Selangor esok, seramai 138 individu telah diumumkan oleh parti politik masing-masing bakal berentap untuk merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertanding.

Pakatan Harapan (PH), yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri sejak 2008, menyenaraikan 44 calon yang meliputi PKR (20), DAP (15) dan Amanah (sembilan).

Barisan Nasional (BN), yang membentuk kerjasama dengan PH, turut menamakan 12 calon sekali gus memberi lebih peluang kepada PH mengekalkan penguasaan khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

Perikatan Nasional (PN), yang terdiri daripada tiga parti komponen besar iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan, juga mengumumkan calon untuk bertanding di semua kerusi DUN dengan 31 didominasi Bersatu manakala PAS dan Gerakan masing-masing 17 serta lapan kerusi.

Pertembungan dua gabungan politik gergasi PH-BN dengan PN dihangatkan lagi apabila Muda yang diterajui Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut mengumumkan 14 calon bagi membawa panji parti itu pada PRN kali ini.

Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang bekerjasama dengan Muda bagi menghadapi PRN pada 12 Ogos ini, turut mengumumkan empat calon di kerusi Kota Damansara, Dengkil, Meru dan Kajang.

Perebutan kerusi tambah menarik apabila Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan calon di lapan DUN dengan tumpuan kepada kerusi sekitar Klang antaranya Pelabuhan Klang, Selat Klang, Sentosa dan Pandamaran.

Susulan pengumuman calon oleh semua parti politik, PRN Selangor bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di 19 DUN, satu lawan satu di 36 kerusi dan satu persaingan empat penjuru iaitu di DUN Sentosa melibatkan PH-PKR, PN/Gerakan serta calon daripada parti MUDA dan PRM.

Antara kerusi yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru ialah Dusun Tua, Bukit Antarabangsa, Bandar Utama, Batu Tiga, Kota Anggerik, Sungai Kandis dan Dengkil.

Bagi aksi satu lawan satu, pertembungan menarik dijangka berlaku di kerusi DUN di Utara Selangor antaranya Sabak, Sungai Panjang, Hulu Bernam, Batang Kali dan Sungai Burong yang menyaksikan persaingan dua seteru politik utama negara sejak sekian lama iaitu BN/Umno dengan PN/PAS.

Pertembungan sengit juga dijangka berlaku di DUN Sungai Tua, Gombak Setia, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Semenyih, Kajang, Taman Medan, Sijangkang dan Tanjung Sepat.

Tumpuan pastinya terarah di DUN Sungai Tua apabila Menteri Besar Amirudin Shari (PH) akan mempertahan kerusi yang dimenangi sejak 2008 dan beliau dijangka ditentang oleh calon PN iaitu Muhammad Hanif Jamaluddin dalam pertembungan satu lawan satu.

Turut menjadi perhatian kerusi DUN Hulu Kelang yang bakal menyaksikan persaingan antara Azmin Ali (PN-Bersatu), tokoh yang diuar-uarkan sebagai calon menteri besar daripada PN, dengan setiausaha politik kepada menteri besar, Juwairiya Zulkifli (PH-PKR).

Juwairiya merupakan penyandang kerusi DUN Bukit Melawati manakala Azmin adalah bekas ADUN Bukit Antarabangsa.

Proses penamaan calon bagi PRN Selangor akan berlangsung esok di 35 pusat penamaan yang antara lain meliputi dewan serbaguna, kompleks sukan, stadium tertutup, pejabat majlis perbandaran dan dewan sekolah.

Mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya, proses penamaan calon bagi PRN Selangor dan lima negeri lain iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan hanya berlangsung sejam iaitu dari 9 hingga 10 pagi.

Tiada ulasan: