"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: Menteri ambil tanah, balak akan dilucut jawatan

Bernama

DUNGUN: Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak mengizinkan mana-mana Jemaah Menteri atau pemimpin bawah kerajaan pimpinannya mengambil tanah atau hasil aktiviti pembalakan.

Beliau berkata, mana-mana menteri dan pemimpin didapati melanggar larangan itu akan dilucutkan jawatan mereka.

“Beza terbesar kerajaan perpaduan dengan kerajaan terdahulu ialah kerajaan ini tidak mengizinkan menteri atau pemimpin kerajaan ambil seinci pun tanah kerajaan mahupun seekar balak.

“Jika perkara itu berlaku, mereka akan tersingkir daripada jawatan,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Bandar Al Muktafi Billah Shah.

Anwar berkata, ada pihak yang sering memfitnah kerajaan dan memainkan sentimen keagamaan tidak berani untuk melarang pemimpin mereka mengaut keuntungan melalui aktiviti membalak, kontrak serta saham.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak pernah mengkhianati rakyat dengan mengurangkan peruntukan seperti didakwa sesetengah pihak.

Perdana menteri berkata, dalam keadaan ekonomi sekarang yang bertambah baik, harapan untuk negara membangun semakin cerah malah kerajaan juga menambah beberapa peruntukan infrastruktur termasuk di negeri pembangkang.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, yang juga menteri pembangunan desa dan wilayah, dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah Ahmad Said serta beberapa Jemaah Menteri.

Tiada ulasan: