Malaysiakini
Kumpulan Islam Palestin, Hamas mengucapkan takziah di atas pemergian timbalan presiden Amanah, Allahyarham Salahuddin Ayub.
Surat ucapan takziah diatas pemergian itu ditujukan kepada Presiden Amanah Mohamad Sabu dan dikongsikan di laman Facebook rasminya.
Hamas menerusi ketua pejabat perhubungan Arab dan Islam, Dr Khalil al-Hayya menyatakan Allahyarham adalah negarawan tersohor yang juga rakan sejati Palestin.
Hamas juga turut merakamkan penghargaannya di atas pendirian Allahyarham dalam memperjuangkan hak kebebasan rakyat Palestin yang tertindas.
“Salahuddin bukan sahaja seorang negarawan tersohor dan menteri tetapi juga seorang rakan Palestin. Dalam kita meratapi kehilangan seorang negarawan dan rakan sejati Palestin, marilah bersama menghargai hidup dan legasi beliau.
“Sokongan tidak berbelah bagi beliau untuk rakyat Palestin dan hak mereka untuk kebebasan sangat terpuji dan dihargai telah meninggalkan kesan di hati rakyat Palestin dan Malaysia.
“Kempen beliau untuk hak golongan tertindas membuktikan sifat dan dedikasinya sebagai seorang pemimpin,” menurut surat ucapan itu.
Salahuddin, yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah, malam tadi.
Ahli politik berusia 61 tahun itu meninggalkan balu Fatimah Taha, enam orang cahaya mata dan 11 cucu.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Sulong Kampung Serkat di Pontian, Johor, pagi tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan