"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin didakwa enam pertuduhan babitkan RM232.5 juta

Hidir Reduan Abdul Rashid

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa semasa prosiding di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi pagi ini.

Empat pertuduhan salah guna kuasa, dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduh Muhyiddin menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu untuk mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu antara 1 Mac 2020 dan Ogos 20 2021.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram, yang dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama, menuduh ahli politik berusia 76 tahun itu menerima RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Ahli parlimen Pagoh itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan terbabit atau RM10,000 yang mana lebih tinggi bagi pertuduhan salah guna kuasa.

Manakala bagi kes pengubahan wang haram boleh dihukum penjara 15 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah terbabit atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Ikat jamin RM2 juta

Pada prosiding pagi tadi, Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memohon ikat jamin ditetapkan RM2 juta dengan dua penjamin tempatan dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat jaminan.

Peguam Muhyiddin K Kumaraendran memaklumkan mahkamah pihak pembelaan bersetuju dengan cadangan jaminan dan syarat-syaratnya.

Azura kemudian membenarkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin tempatan dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Pada akhir prosiding hari ini, Terrirudin memaklumkan Muhyiddin dijangka menghadapi satu lagi pertuduhan di Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Bagaimanapun, tidak didedahkan jenis pertuduhan itu.

Pertuduhan Muhyiddin hari ini selepas dia dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam.

Tiada ulasan: