"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar berjaya kekal kestabilan politik dari awal

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah melakukan yang terbaik memastikan kestabilan politik dalam tempoh 100 hari beliau berkuasa, kata penganalisis.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, keputusan Anwar memanggil undi usul percaya susulan pelantikannya dan pembentukan Sekretariat Kerajaan Perpaduan adalah antara pendekatan yang mengukuhkan lagi pentadbirannya.

Beliau berkata, Anwar juga bertindak segera dalam melunaskan hak Sabah dan Sarawak sebagai kunci utama menjamin kestabilan.

Kerajaan perpaduan diterajui Anwar menaikkan geran khas tahunan untuk Sabah dan Sarawak sekurang-kurangnya 10 kali ganda kepada RM260 juta (Sabah) dan RM300 juta (Sarawak). Negeri-negeri Borneo itu juga diberikan autonomi atas projek infrastruktur bernilai kurang RM50 juta.

“Kestabilan ini membolehkan Anwar memberikan fokus kepada kedudukan ekonomi negara dan mengukuhkan hubungan dengan negara tetangga,” katanya Awang Azman kepada FMT.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkongsi pandangan serupa, dengan berkata ketegangan berlaku pada kadar minimum dalam kalangan parti membentuk kerajaan walaupun berbeza ideologi, merujuk kepada Umno dan DAP.

Bagaimanapun, Azmi berkata, Anwar berdepan cabaran kesan ketidakstabilan dalam Umno, yang mengundang ancaman terhadap kemampuannya mengekalkan kerajaan pimpinannya.

“Pemilihan Umno akan menentukan nasib kerajaan perpaduan. Saya percaya Umno boleh bertahan dan mengekalkan status quo,” katanya sambil menambah, kerajaan perpaduan pimpinan Anwar boleh bertahan sehingga habis penggal.

Penganalisis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhamad Nadzri Mohamed Noor, pula mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, walaupun Anwar mempunyai majoriti kukuh di Parlimen, ini tidak bermakna kerajaannya tidak boleh ditumbangkan oleh gerakan seperti Langkah Sheraton.

“Pada masa ini, pembangkang mungkin rasa menjadi mangsa dan akan cuba mencari jalan keluar,” katanya merujuk dakwaan pemimpin Bersatu menjadi mangsa pendakwaan politik.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad, serta menahan bendahari agung parti itu, Salleh Bajuri, bagi siasatan berhubung dana parti.

Bagaimanapun, Nadzri mengakui undang-undang anti-lompat parti, selain pembentukan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Yang di-Pertuan Agong bermakna sukar bagi mana-mana parti menjalankan apa jua gerakan politik.

Nadzri, yang mengetuai Jabatan Sains Politik UKM berkata, beliau tidak rasa Anwar melakukan sedaya mungkin dalam meraih sokongan pembangkang, seperti yang dilakukan pendahulunya, Ismail Sabri Yaakob, menerusi memorandum persefahaman (MoU).

Katanya, mencapai konsensus bersama pembangkang menjamin kestabilan politik.

Kerajaan perpaduan Anwar dianggotai Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, dengan sokongan Muda, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, dan Ahli Parlimen bebas.

Tiada ulasan: