"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terbaru: Muhyiddin berdepan satu lagi tuduhan rasuah di mahkamah Shah Alam

Malausiakini

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bakal menghadapi satu lagi pertuduhan rasuah di mahkamah Shah Alam Isnin depan.

Demikian menurut Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Bercakap kepada penyokong di luar kompleks mahkamah Kuala Lumpur hari ini, Faizal kesal dengan tindakan terhadap Muhyiddin, yang menurutnya banyak berjasa kepada negara.

"Jika seorang negarawan pun boleh diperlakukan sedemikian, bagaimana nasib rakyat?" katanya seperti dilapor Berita Harian.

Tambah Faizal, dia yakin Muhyiddin tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan.

Terdahulu, Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional, dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta, di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi.

Empat pertuduhan salah guna kuasa, dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduh Muhyiddin menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu dan presiden Bersatu untuk mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara Mac 1, 2020 dan 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram itu dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

Ahli politik berusia 76 tahun itu didakwa menerima RM120 juta hasil aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Ahli Parlimen Pagoh itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta.

Tiada ulasan: