"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: Saya jadi PM bukan untuk aniaya, zalimi sesiapa

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menafikan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih susulan penahanan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Saya pegang jawatan ini bukan untuk menganiaya, menekan atau menzalimi sesiapa, saya tahu apa erti pendakwaan terpilih,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, projek Jana Wibawa tidak akan dibatalkan, sebaliknya akan diteruskan khusus untuk membantu golongan Bumiputera.

“Saya runding semula kerana banyak pelanggaran peraturan kewangan, ada syarikat Cina ‘diBumiputerakan’ kerana dia kebetulan kawan baik di Johor. Jadi itu pun nak pertahankan, projek Bumiputera bagi kepada Cina…apa dia, peraturan kewangan apa macam ini.

“Kalau nak bagi projek, saya tidak halang tetapi ini projek khusus Bumiputera, mengelirukan,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Anwar, Jana Wibawa dikatakan mempunyai dua fasa di bawah tata kelola Pagoh dan Bera.

“Jana Wibawa fasa 1.0 itu Pagoh (Muhyiddin), Jana Wibawa 2.0 itu Bera (Ismail Sabri Yaakob)…saya tidak ambil kisah. Terpulang kepada SPRM, nak semak..semaklah. Saya tak kata harus semak Jana Wibawa 1.0, kalau rasa ada bukti 2.0 bawah Bera.. siasat, saya tidak suruh,” katanya.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, fitnah dan kecaman boleh berlaku kepada sesiapa saja.

“Puchong (merujuk Gobind Singh Deo, bekas Ahli Parlimen Puchong) pun ada, dia faham. Tetapi mereka cerca kita, tanya penjelasan SPRM dan peguam negara, sepatutnya dituju ke situ,” katanya.

Menurutnya, semua pihak harus menilai apa pertuduhan dan bukti sama ada terdapat rasuah atau tidak.

“Ini maknanya seolah-olah rasuah ini perlu dipertahankan kerana dia kawan kita, tengok dulu apa pertuduhan dan bukti, betul atau tidak rasuah. Kalau fitnah, tak payah orang PAS, saya sendiri akan bangun menentang fitnah terhadap sesiapa.

“Tetapi kalau benar ada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, baca al-Quran, hadis dan kitab kita pertahankan rasuah, di mana pendirian kita,” katanya.

Hari ini, Muhyiddin ditahan dan akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, esok berhubung projek Jana Wibawa.

Ahli Parlimen Pagoh itu bakal menghadapi pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Tiada ulasan: