"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 lelaki bertopeng, berparang samun rumah di Sri Andalas

MUHAMMAD AMINNURALIFF

KLANG - Satu keluarga menempuh detik mencemaskan apabila disamun sekumpulan lelaki berparang dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Sri Andalas di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian itu kira-kira jam 9.05 pagi.

"Siasatan dijalankan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, kesemua suspek menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana berhenti di hadapan rumah mangsa.

"Kesemua suspek terdiri empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang itu kemudian memasuki pintu hadapan rumah mangsa," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, ketika kejadian terdapat tiga ahli keluarga yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita lingkungan umur antara 46 hingga 88 tahun berada di dalam rumah tersebut.

"Suspek kemudian mengarahkan kesemua mangsa duduk dalam bilik utama sambil diawasi dua lagi suspek.

"Salah seorang suspek bertindak mengambil rantai leher yang dipakai oleh dua mangsa manakala suspek lain menyelongkar bilik dan beg tangan milik mangsa sebelum melarikan diri melalui pintu hadapan dengan menggunakan kenderaan yang sama," katanya.

Menurutnya, anggaran kerugian dipercayai kira-kira RM25,000.

"Barangan yang disamun melibatkan beberapa jenis barang kemas bernilai kira-kira RM24,000, wang tunai anggaran RM800 dan sebuah telefon bimbit jenis Iphone telah hilang.

"Salah seorang mangsa turut mengalami kecederaan di jari kelengkeng kiri akibat menahan pintu semasa suspek cuba masuk ke dalam rumah," katanya.

Ujar Hoong Fong, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Usaha memburu kesemua suspek terlibat sedang giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini atau suspek yang terlibat diminta menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 0333762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.

Tiada ulasan: