"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sharir Samad: Amaran Hadi permulaan langkah jatuhkan kerajaan

Malaysiakini

Pemimpin kerajaan perlu berwaspada dengan amaran Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bakal tumbang.

Veteran Umno, Shahrir Samad, berkata ini kerana PAS juga merupakan pencetus kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

"Jatuhnya PH. Naiklah kerajaan Perikatan Nasional (PN). Pencetusnya ialah PAS.

"Sekarang sekali lagi PAS memulakan langkah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan menaikkan kembali sebuah kerajaan tajaan PAS.

"Sekali dah berjaya. Kali kedua, cuba lagi. Hadi sudah beri amaran awal Mac 2023. Tunggu dan lihat," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada 1 Mac lalu, presiden PAS itu dilaporkan menjangkakan kerajaan hari ini yang diterajui Anwar akan tumbang tidak lama lagi.

Bagaimanapun Abdul Hadi tidak menyebut berdasarkan apa jangkaannya itu dibuat .

"Orang tanya bila berlaku ini. Ini ramalan.

"Insya-Allah, (akan berlaku) dalam masa terdekat," katanya.

Mengulas lanjut, Shahrir turut mengimbau bibit kejatuhan kerajaan PH selepas pertemuan pemimpin PAS itu dengan Mahathir.

Katanya, ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih pada Feb 2019, Hadi telah berjumpa Mahathir yang ketika itu perdana menteri PH.

Selepas dua perjumpaan dengan Mahathir, presiden PAS itu mengeluarkan kenyataan menyokong bekas pengerusi Pejuang itu sebagai perdana menteri sehingga hujung penggal Parlimen ke-14.

"Kemudian, enam ahli parlimen BN telah, tanpa pengetahuan Umno, juga mengisytiharkan sokongan yang sama kepada Mahathir. Kenyataan mereka ini dibuat sebelum PRK Parlimen Tanjung Piai.

"Kedua-dua pengisytiharan sokongan ini adalah petanda pelaksanaan "Langkah Sheraton" di mana PAS dan sekelompok ahli parlimen Umno-BN menyokong Mahathir sebagai PM," katanya.

Tiada ulasan: