N Faizal Ghazali
Seorang ahli parlimen pembangkang mempersoalkan kos perjalanan bekas naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar yang dilihat turut berada dalam acara-acara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi di luar negara, baru-baru ini.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bertanya sama ada keberadaan Nurul Izzah yang mewakili badan bukan kerajaan dalam lawatan itu ditanggung kerajaan atau sebaliknya.
"Apa kepentingan Social and Economic Research Initiative (Seri) yang diwakili anak perdana menteri itu? Ia bukan satu badan kerajaan. Jadi siapa tanggung kosnya?
"Kenapa peruntukan untuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dapat sangat sedikit tetapi untuk lawatan orang yang bukan ahli parlimen dan swasta boleh pula? Ini bukan satu tatakelola yang baik," katanya, hari ini.
Terdahulu Anwar mengadakan lawatan rasminya ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 Nov sehingga 19 Nov lalu dan turut disertai Nurul Izzah dalam beberapan acara.
Dalam hantaran di Facebook 9 Nov lalu, Nurul Izzah memaklumkan dia bertolak ke Mesir, Peru dan Brazil mewakili Seri bagi lawatan kerja.
Menurutnya, delegasi rasmi turut disertai para usahawan Malaysia yang sudah terkenal serta usahawan kecil dan sederhana (IKS) lain.
"Saya yang mewakili Seri akan bertemu dengan Third World Network (TWN) serta The Aga Khan Trust for Culture, Universiti Al-Azhar dengan penyertaan Think City.
"Kami akan cuba merangkum usaha organisasi bukan kerajaan yang sealiran bagi menyambut agenda negara-negara membangun, berkuasa tengah, dan mendukung solidariti ekonomi di antara negara-negara ini, bukannya persaingan sempit lagi sengit," katanya.
Selain itu dalam satu program di Peru, Nurul Izzah juga mewakili ibunya Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi mengunjungi umat Islam di Masjid Mezquita de Magdalena Dei Mar, Peru.
Hari ini di Dewan Rakyat, Anwar menjelaskan kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasmi ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.
Menurut presiden PKR itu, pendekatan tersebut dilaksanakan di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.
Untuk rekod ketika PKR menjadi pembangkang, isu kos lawatan rasmi perdana menteri ketika itu (Najib Razak) antara perkara yang turut menjadi perhatian dalam proses semak imbang pentadbiran kerajaan.
Sementara itu, Wan Fayhsal berkata, Anwar sepatutnya menjelaskan lebih lanjut mengenai 80 peratus kos perjalanan ditanggung oleh pihak swasta itu.
"Perdana menteri kata 80 peratus ditanggung (pihak) swasta. Siapa dan apa kepentingan mereka? Satu lagi contoh tatakelola yang merosakkan.
"Apakah sah di sisi undang-undang?" soalnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan