Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
Tawau: Lelaki warga emas ditahan polis tengah malam tadi kerana membuat hantaran jelik menghina agama Islam yang dimuat naik di Facebook (FB) yang tersebar sejak kelmarin.
Suspek berumur 70 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau jam 12.15 tengah malam di pusat bandar di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tangkapan dibuat berikutan laporan dibuat seorang lelaki berusia 25 tahun.
Beliau berkata, berdasarkan laporan itu, pengadu mendakwa melihat kenyataan jelik yang mempunyai unsur menghina dan menyinggung sensitiviti umat Islam dimuat naik oleh individu terbabit di FB.
Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan perasaan permusuhan, kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana agama.
"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti niat di sebalik kenyataan yang dimuat naik individu berkenaan.
"Polis memandang serius isu sebegini dan orang ramai diingatkan supaya tidak menjadikan agama sebagai jenaka kerana ia boleh menimbulkan perasaan permusuhan, kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana agama, perpecahan serta situasi tidak harmoni dalam kalangan masyarakat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan