Bernama
Salah seorang anggota PPDA sedang menjalankan misi SAR ke atas remaja yang dikhuatiri lemas di tali air Kampung Padang Enggang, Kota Bharu. - Bernama
KOTA BHARU: Seorang pelajar lelaki Tingkatan Dua sebuah sekolah di sini ditemukan lemas selepas tergelincir ke dalam tali air semasa mandi bersama dua lagi rakannya di Kampung Padang Enggang, hari ini.
Muhamad Faris Mohd Nor berusia 14 tahun ditemukan di dasar tali air berkenaan pada kedalaman kira-kira lapan meter.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim Ramli Abdullah berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 5.15 petang tadi dan tiba di lokasi pencarian enam minit kemudian.
Beliau berkata bomba mengerahkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa dan Kota Darulnaim, serta empat anggota Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) bagi mengesan mangsa.
"Operasi melibatkan pasukan PPDA yang memulakan pencarian di permukaan air menemukan mangsa di dasar tali air pada 6.30 petang tadi," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Ramli berkata beliau difahamkan mangsa tergelincir kerana kawasan tebing tali air dipenuhi lumpur ekoran hujan, manakala mangsa tidak pandai berenang dan kejadian berlaku ketika hujan renyai.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan