"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 ‘tekong’ Kemboja dicekup cuba seludup 20 warga Myanmar

Bernama

ALOR SETAR: Dua lelaki Kemboja ditahan ketika cuba menyeludup 20 warga Myanmar dengan menggunakan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di tepi Jalan Hosba, Changlun dekat Kubang Pasu, semalam.

Ketua Polis Kubang Pasu Mohd Redzuan Salleh, berkata sepasukan pegawai dan anggota Balai Bukit Kayu Hitam bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu yang membuat rondaan di Sintok telah terserempak dengan dua MPV itu dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut telah menemui 12 lelaki dan lapan wanita warga Myanmar yang berusia antara 20 hingga 40 tahun di dalam kedua-dua MPV yang dipandu dua lelaki warga Kemboja yang dipercayai bertindak sebagai tekong.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua warga Myanmar itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan.

Redzuan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua tekong itu telah menerima upah daripada seorang lelaki warga Myanmar lain dengan bayaran RM1,000, membawa semua warga asing itu dari sempadan Bukit Kayu Hitam ke Kuala Nerang.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

“Polis sentiasa peka dalam usaha membanteras jenayah melibatkan aktiviti pemerdagangan manusia terutamanya di sempadan Malaysia-Thailand. Masyarakat boleh memberi maklumat dengan menyalurkan ke talian MERS 999 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Tiada ulasan: