Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Melaka: Budak perempuan berusia sembilan tahun meninggal dunia dipercayai didera bapa tiri dan ibunya di rumah mereka di Kota Laksamana, di sini, pagi tadi.
Difahamkan mangsa dibawa ke sebuah hospital swasta di bandar Melaka oleh bapa tirinya berusia 30-an untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan dialaminya.
Sumber berkata, doktor yang merawatnya bagaimanapun mendapati terdapat kesan disyaki didera pada tubuh kanak-kanak itu.
"Mangsa juga didapati mengalami patah kaki serta kesan lebam di kepala dan badan sebelum meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan hospital terbabit," katanya.
Sumber berkata, pihak hospital kemudian menghubungi polis kira-kira jam 10 pagi memaklumkan kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Leow Kian Heong ketika dihubungi mengesahkan kejadian namun tidak mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
Beliau berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan