Malaysiakini
Amanah menyatakan kesediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pertembungan tiga penjuru, dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor akan datang sekiranya BN memilih untuk tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata, persediaan jentera akan digerakkan mulai sekarang bagi mendepani hakikat politik tersebut sekiranya rundingan kerusi antara kedua-dua gabungan dalam Kerajaan Perpaduan tidak mencapai kata sepakat.
"Bagi Amanah, kami terus mengharap bahawa keikhlasan yang ditunjukkan PH dalam berpakat akan dihargai dan mencorakkan keputusan BN.
"Tapi pada masa sama Amanah akan gerak jenteranya mulai sekarang untuk hadapi kemungkinan tiga penjuru atau dua penjuru sekiranya BN mengikuti kegilaan Akmal (Saleh).
“Ini bukan amaran atau cabaran, ia sekadar statement of fact atau menyatakan hakikat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Akmal berkata, demi perpaduan Melayu, dia cenderung melihat kerjasama Umno-PAS dalam pilihan raya walaupun PAS tidak memenangi sebarang kerusi di negeri itu.
Sementara itu, Khalid menyifatkan jawapan yang diberikan oleh Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berhubung status rundingan kerusi tersebut sebagai satu maklum balas yang matang dan ikhlas.
Menurutnya, ketenangan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat dalam menjelaskan bahawa keputusan untuk bersama PH atau bersendirian masih belum dimuktamadkan adalah jauh lebih baik berbanding kenyataan-kenyataan sebelum ini.
"Jawapan sebegini dari Tok Mat jauh lebih matang dan ikhlas.
"Amanah mengharapkan kerjasama Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan demi kepentingan negara, namun mengakui pilihan diletak di tangan BN," katanya.
Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata bahawa BN masih belum membuat sebarang keputusan mengenai kerjasama politik dengan mana-mana parti bagi menghadapi PRN Melaka dan Johor.
Menurutnya adalah masih terlalu awal untuk bercakap soal pembahagian kerusi antara parti.
"Keputusan mengenai formula kerjasama politik bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti.
"Setakat ini, BN masih belum membuat sebarang ketetapan rasmi.
"Perbincangan dengan pihak luar hanya akan berlaku selepas parti mencapai kata putus secara dalaman.
"Jika parti memilih untuk bergerak secara solo, dia sedia akur dengan mandat tersebut," kata Tok Mat.
‘Hairan, tiada paksaan, tiada buli’
Namun, Khalid, bekas menteri Wilayah Persekutuan, melahirkan rasa hairan mengapa BN masih kelihatan sangsi untuk meneruskan kerjasama tersebut, sedangkan hubungan yang terbina selepas PRU-15 disifatkan sebagai harmoni dan bebas daripada unsur paksaan.
"Sepanjang kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, PH tidak pernah mengamalkan politik buli atau khianat terhadap rakan sekutu mereka.
"Tiada sebab BN perlu menolak kerjasama ini. Agak hairan kenapa BN masih teragak-agak dalam meneruskannya, kerana tiada unsur khianat atau paksaan/buli sepanjang kita bekerjasama.
"Lainlah kalau kami seperti PAS dan PN yang masyhur dengan khianat dan pemaksaan," katanya lagi.
Sementara itu, Khalid mengimbau pengalaman peribadinya semasa dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (Isa) suatu ketika dahulu, menyamakan situasi politik BN sekarang dengan analogi "pisau dan buah".
"Teringat saya akan kata-kata pegawai Isa ketika saya ditahan dahulu, 'pisau di tangan kamu dan buah di tangan kamu, nak potong cantik-cantik atau nak cincang, itu pilihan kamu'.
"Begitulah keadaannya dengan BN sekarang," katanya.
BN-PH bekerjasama dalam PRN di enam negeri pada 2023 menggunakan formula kerusi penyandang kekal.
Bagaimanapun, jika formula ini digunakan di Melaka dan Johor, Amanah hanya akan mendapat satu kerusi di Melaka (Bukit Katil) dan satu lagi di Johor (Simpang Renggam).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan