"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Haji Hadi: Siapa dilantik Pengerusi PN terjawab Ahad ini

Baharom Bakar
am@hmetro.com.my

Marang: Teka-teki individu yang akan dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) akan terjawab pada mesyuarat PAS pusat, Ahad ini.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat itu bukan sahaja akan membincangkan calon Pengerusi PN baharu menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya dijangka menyentuh soal pelantikan Ketua Pembangkang baharu.

Katanya, PAS akan mengambilalih menerajui PN, selepas Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh melepaskan jawatan pada akhir Disember lalu.

"Kita akan bincang serta putuskan Pengerusi PN baharu dan tidak menolak turut dibincangkan adalah mengenai Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Setakat ini PAS belum membuat keputusan mengenai jawatan Ketua Pembangkang, mungkin akan dibincangkan pada mesyuarat Ahad ini," katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang ditemui selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS perlu berusaha bagi menyelamatkan PN kerana untuk memerintah negara, mesti membabitkan semua pihak.

"Paling penting pada perbincangan mesyuarat nanti adalah kita perlu selamatkan PN, kerana PAS berpendapat jika mahu perintah negara mesti membabitkan semua pihak," katanya.

Ketika mengulas kunjungan Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang dipecat daripada BERSATU, Abdul Hadi mengakui bekas timbalan Presiden parti itu ada menemuinya.

"Kita juga ada menerima kunjungan daripada wakil Muhyiddin diketuai Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

"Pada perjumpaan itu, kedua-dua pihak iaitu kumpulan Hamzah dan Muhyiddin masing-masing memberi hujah dan kita akan berusaha menyelesaikan masalah dibangkitkan," katanya.

Ketika mengulas cadangan Hamzah untuk menubuhkan parti baharu, Abdul Hadi berkata, itu terpulanglah kepada beliau untuk membuat keputusan.

Tiada ulasan: