FMT Reporters
PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dijangka menyertai parti politik lain atau ‘rumah baharu’ minggu depan, bersama 16 Ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hassan, berkata platform politik baharu itu juga akan disertai ketua-ketua Bersatu yang juga sudah pun menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Larut berkenaan.
“Maklumat yang saya dapat pun begitu juga (bahawa Hamzah akan mengumumkan rumah baharu) dalam masa terdekat, Insya-Allah pada minggu depan.
“Saya pun akan sertai ‘rumah baharu’ itu bersama Ahli Parlimen lain,” katanya, menurut Utusan Malaysia.
Azahari antara Ahli Parlimen yang dipecat Bersatu selain Hamzah, minggu lalu.
Hamzah mendakwa beliau disokong 18 daripada 25 Ahli Parlimen parti itu, berikutan pemecatannya oleh lembaga tatatertib.
Ketika Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik pada 14 Februari lalu, beliau berkata semua pilihan kekal terbuka termasuk membentuk parti baharu.
Sementara itu, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Yunus Nurdin berkata, Hamzah akan mengambil alih parti kecil bagi memperluaskan pengaruhnya menjelang PRU akan datang.
“‘Rumah baharu’ yang dimaksudkan ialah sebuah parti yang sudah ada dan beliau akan mengambil alih parti itu.
“Beliau sudah memberi petanda mengenai parti tersebut, tetapi belum mendedahkan nama parti. Insya-Allah ia akan diumumkan dalam masa terdekat kerana tidak boleh lambat,” katanya.
Menurutnya, Hamzah tidak berminat menyertai parti besar kerana strategi beliau adalah untuk menjadi ketua parti supaya dapat menunjukkan keupayaan sebenarnya.
Beliau menyokong langkah terbabit kerana ia membolehkan Hamzah menjadi pemimpin utama parti baharu dan menonjolkan kepemimpinannya.
Manakala bekas ketua Bersatu Kepala Batas Khaliq Mehtab Mohd Ishaq pula berkata beliau akan kekal bersama Hamzah tidak kira di mana pemimpin itu berada.
“Jika betul ada parti baharu atau apa-apa sahaja, biar beliau yang umumkan. Sebab kita ini pengikut tegar dia, jadi dia yang sepatutnya umumkan perkara ini,” katanya.
Tambahnya, Bersatu dijangka terjejas susulan pengumuman itu nanti.
“Bersatu memang akan terjejas. Apabila parti sudah lari dari prinsip perjuangannya, pemimpin-pemimpin Bersatu yang sudah celik berkenaan perkara ini, sepatutnya meninggalkan parti dan datang bersama dengan Hamzah,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan