Agensi

MICHAEL Bambang Hartono.
Jakarta: Tokoh konglomerat, Michael Bambang Hartono, yang juga lelaki terkaya Indonesia, meninggal dunia pada Khamis di Singapura, lapor Jakarta Globe.
Beliau berusia 86 tahun.
Berita itu disahkan jurucakap Djarum, Budi Darmawan, dalam satu kenyataan bertulis.
"Keluarga besar PT Djarum meratapi pemergian Michael Bambang Hartono pada Khamis, 19 Mac 2026," kata Budi.
Sudah 10 tahun tidak beraya di kampung
Michael terkenal sebagai pemilik bersama Djarum, salah satu pengeluar rokok terbesar di Indonesia yang beribu pejabat di Kudus, Jawa Tengah.
Beliau mengembangkan perniagaan keluarga melebihi industri tembakau ke dalam sektor perbankan, elektronik dan perdagangan digital.
Menurut Indeks Bilionair Bloomberg terkini, Michael memiliki nilai bersih kira-kira AS$16.3 bilion (kira-kira RM64.2 bilion), menempatkannya pada kedudukan ke-181 di peringkat global.
Bagaimanapun, kekayaannya merosot sekitar lapan peratus atau kira-kira AS$1.4 bilion (kira-kira RM5.5 bilion) sepanjang 2026.
Difahamkan, kekayaan Michael berpunca daripada sektor strategik, terutamanya perbankan melalui pegangan besar dalam Bank Central Asia (BCA), peneraju pinjaman terbesar di Indonesia mengikut permodalan pasaran.
Kumpulan Djarum juga mengawal Polytron, pengeluar elektronik yang baru-baru ini berkembang ke dalam kenderaan elektrik dan platform e-dagang Blibli.
Dalam pada itu, Michael dan abangnya, Robert Budi Hartono, mewarisi dan menukar perniagaan tembakau bapa mereka, memodenkan pengeluaran dan memperluas pengedaran Djarum.
Kumpulan itu mula menceburi kepelbagaian seawal 1975 melalui Polytron dan kemudian memasuki perkhidmatan kewangan, termasuk memperoleh pegangan kawalan di BCA.
Selain perbankan, kumpulan itu turut membangunkan portfolio hartanah yang besar di Greater Jakarta.
Difahamkan, Michael mewakili Indonesia dalam acara bridge pada Sukan Asia 2018, di mana beliau membantu meraih pingat gangsa untuk pasukan kebangsaan.
Beliau meninggalkan isteri dan empat anak.
-Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan