"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tahan tiga warga asing hasil video lucah di Bali

AFP

Jakarta: Polis Indonesia menahan dua warga Perancis dan seorang warga Itali atas tuduhan menghasilkan serta mengedarkan bahan lucah di negara yang melarang keras kandungan sedemikian, menurut polis di pulau peranginan Bali, semalam.

Ketua Polis Daerah Badung, Joseph Edward Purba berkata, dua lelaki dan seorang wanita itu ditahan selepas disyaki cuba meraih keuntungan daripada video dan kandungan.

Warga asing itu berdepan hukuman sehingga 10 tahun penjara atas kesalahan menghasilkan bahan lucah dan tambahan enam tahun lagi bagi kesalahan pengedaran dalam talian.

Bali yang majoritinya beragama Hindu menjadi tumpuan jutaan pelancong asing, namun Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam melarang keras penghasilan bahan pornografi.

Pada tahun lalu, bintang filem dewasa Britain, Bonnie Blue dihantar pulang dari Bali selepas dikenakan denda atas kesalahan trafik yang menjadi satu-satunya pertuduhan dikenakan dalam siasatan berkaitan penghasilan bahan lucah.

Pegawai di Bali sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan terhadap tingkah laku tidak terkawal pelancong asing, susulan beberapa kes pengusiran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini termasuk beberapa pempengaruh Rusia yang dihalau kerana bergambar bogel di lokasi suci.

Joseph berkata, siasatan terbaharu itu bermula susulan video tular mengandungi kandungan lucah yang tersebar di media sosial.

Jumaat lalu, pegawai imigresen menahan wanita warga Perancis yang digambarkan sebagai pencipta kandungan bersama lelaki warga Itali ketika mereka cuba meninggalkan Bali menuju ke Thailand.

Seorang lagi lelaki warga Perancis yang didakwa sebagai pengurus wanita berkenaan, ditahan beberapa hari kemudian di Badung.
-Hmetro 

Tiada ulasan: