"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Anak saya diperangkap sebelum ditetak hingga mati'

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
LOKASI lelaki ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang. FOTO Alias Abd Rani
LOKASI lelaki ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang. FOTO Alias Abd Rani
Tangkak: Ibu kepada lelaki yang maut ditetak tiga lelaki bersenjatakan parang di Bukit Kangkar, Sungai Mati, di sini, petang kelmarin, mendakwa anaknya diperangkap sebelum dibunuh dengan kejam.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Kim, 62, berkata, lelaki terbabit membuat temu janji dan meminta anaknya datang ke sebuah restoran untuk berbincang.

"Saya rasa mereka sudah merancang untuk melakukan ini (pembunuhan). Pada hari kejadian, anak saya memberitahu ahli keluarga dia mahu ke restoran kerana mahu menemui seseorang.

"Semasa berjumpa mereka, anak saya sempat membalas mesej kepada saya dengan memberitahu; 'Semua OK, tiada apa-apa berlaku'. Tidak lama kemudian, saya terkejut apabila mendapat panggilan anak cedera.

"Saya tak sangka, pertemuan ini adalah satu perangkap untuk menamatkan riwayat anak saya.

"Keluarga kami tidak akan berdiam diri dan akan menuntut keadilan buat anaknya," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, penduduk kampung memberitahu, pada petang kejadian mereka terdengar kekecohan di luar sebelum mendapati seorang lelaki terbaring dalam keadaan parah serta berlumuran darah.

Penduduk berusia 63 tahun yang enggan nama didedahkan itu berkata, mangsa dalam keadaan terbaring di hadapan sebuah rumah dengan kesan kecederaan pada anggota badan.

"Kejadian berlaku baru beberapa minit waktu berbuka. Kami nampak ramai orang mengerumuni mangsa yang cedera ketika itu.

"Orang ramai mula datang dan mangsa dibawa ke hospital menaiki sebuah pikap," katanya.

Mangsa dikenali Tong Wei Sheng, 38, disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tangkak akibat kecederaan di tangan, kaki dan belakang.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, polis giat memburu tiga lelaki yang melarikan dengan menaiki kereta jenis saloon berwarna putih.

Roslan berkata, mangsa dikejar oleh tiga lelaki berhampiran sebuah kedai makan dan melarikan diri ke sebuah rumah di Batu 9, Bukit Kangkar.

"Mangsa dipercayai diserang tiga lelaki bersenjatakan parang hingga parah, sebelum suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

"Usaha mengesan dan menangkap suspek dijalankan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: