"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasangan kekasih maut bertembung Proton Saga dinaiki empat beradik

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my
KEMALANGAN dua kereta yang mengorbankan sepasang kekasih di Kilometer 77.3 Jalan Johor Bahru - Mersing. FOTO Ihsan PDRM
KEMALANGAN dua kereta yang mengorbankan sepasang kekasih di Kilometer 77.3 Jalan Johor Bahru - Mersing. FOTO Ihsan PDRM
Kota Tinggi: Kemalangan dua kereta yang mengorbankan sepasang kekasih di Kilometer 77.3 Jalan Johor Bahru-Mersing, hari ini, berpunca akibat sebuah daripada kenderaan masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pasangan yang maut menaiki Nissan Sentra dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dilaporkan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga dinaiki empat beradik.

"Kita menerima maklumat daripada orang awam pada jam 9.45 pagi mengenai kemalangan maut. Nissan Sentra dinaiki pasangan kekasih yang mana wanitanya warga tempatan berusia 25 tahun.

"Proton Saga pula dipandu seorang wanita tempatan berusia 23 tahun bersama tiga penumpang lelaki juga warga tempatan berusia dari 16 hingga 21 tahun.

"Nissan Sentra itu bergerak dari arah Mersing ke Johor Bahru, manakala Proton Saga dalam perjalanan dari Pasir Gudang menuju ke Kuantan, Pahang," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Yusof berkata, pemandu dan penumpang hadapan Nissan Sentra yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat kemudian dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, bagi tujuan prosedur siasatan.

"Mangsa dalam Proton Saga pula dirujuk ke HKT bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan polis yang dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, Yusof berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang demi menjaga keselamatan bersama di jalan raya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali sebagai P Priyanka bersama pasangannya yang maklumatnya tidak diperolehi.

Manakala, individu dalam Proton Saga yang semuanya cedera ringan adalah adik-beradik.

Tiada ulasan: