FMT Reporters
Dua lagi rakan mangsa cedera selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan lalu terjatuh ke cerun dan melanggar sebatang pokok.

Keadaan kereta mangsa selepas terjatuh ke cerun dan melanggar sebatang pokok di Jalan Jelawang-Gua Musang berhampiran Lata Kertas, semalam. (Gambar IPD Kuala Krai)
PETALING JAYA: Seorang maut, dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke cerun dan merempuh sebatang pokok di Jalan Jelawang-Gua Musang berhampiran Lata Kertas, Dabong di Kuala Krai, semalam.
Ketua Polis Kuala Krai, Mazlan Mamat, berkata kejadian pada 3.55 petang itu berlaku ketika mangsa 19 tahun bersama dua rakannya berusia 18 dan 20 tahun datang dari arah Gua Musang menghala Jeli.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan lalu terjatuh ke cerun dan melanggar sebatang pokok sehingga menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.
“Mangsa dibawa keluar dengan bantuan bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua rakannya mengalami kecederaan,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan