FMT Reporters
Kejadian yang berlaku di Jalan Stadium di Alor Setar itu turut menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal cedera.

Pasukan penyelamat mengangkat mangsa yang maut dihempap pokok tumbang di di Jalan Stadium di Alor Setar, Kedah, tengah hari tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera akibat dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Stadium di Alor Setar, Kedah pada tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba Alor Setar Ismail Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu yang berlaku berhampiran balai bomba itu kira-kira 1.15 tengah hari tadi, lapor Berita Harian.
“Komander operasi melaporkan kejadian itu membabitkan dua motosikal yang melalui kawasan berkenaan ketika pokok tumbang.
“Akibat kejadian itu, mangsa, Ahmad Farazi Kasim, 51, yang menunggang salah satu motosikal dihempap pokok dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Ismail berkata seorang lagi mangsa berusia lingkungan 20-an yang menunggang sebuah lagi motosikal terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ismail berkata, kerja pembersihan di jalan raya dilakukan di lokasi kejadian dan operasi tamat pada 1.53 tengah hari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan